Wednesday, May 5, 2010

RM185,000 diagih kepada 12 veteran ATM

PETALING JAYA - Sebanyak RM185,000 bayaran tunggakan bagi Elaun Kenangan Pingat Keberanian British diagih kepada 12 anggota veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bermula bulan lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), Mej Jen Datuk Zulkiflee Mazlan berkata, pemberian elaun itu adalah usaha komited kerajaan dalam menghargai pejuang negara.

Tahun lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kadar kenaikan Elaun Kenangan sebanyak RM1,500 sebulan kepada penerima pingat 'Military Cross' dan 'Military Medal, yang berkuat kuasa 1 Julai lepas.

“Dulu elaun bagi penerima pingat Military Cross adalah RM7.60 sebulan dan perkara ini telah kita bangkitkan kepada kerajaan kerana jumlah itu tidak mencerminkan perjuangan mereka.

“Setelah diluluskan, pemberian elaun ini hanya dapat diberikan bermula April kerana ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dulu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek Elaun Kenangan Pingat Keberanian British dan peralatan pesakit kepada Brig Jen (B) Datuk Mohamad Nordin Mohaludin, di sini, semalam

Menurutnya, daripada 12 penerima itu hanya seorang menerima RM2,000 sebulan iaitu Awang Anak Raweng kerana beliau merupakan penerima tunggal pingat keberanian kerajaan British ’George Cross’.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: