Saturday, May 22, 2010

Ringkas, santai tetap kemas


Merah terang memberi mood ceria.


HUJUNG minggu mungkin masa paling sesuai untuk menyelongkar semula pakaian-pakaian lama dalam almari bagi diganti dengan yang baru agar tidak ketinggalan dengan gaya penampilan semasa.

Memilih jenama antarabangsa yang mampu beli seperti Marks & Spencer untuk mengisi almari dengan pakaian baru, pasti tidak mengecewakan.

Ini kerana musim ini jenama tersebut menawarkan koleksi pilihan yang ringkas tetapi pelbagai dan mudah pakai.

Daripada koleksi ke pejabat hingga himpunan untuk santai ditampilkan dengan gaya serta potongan sederhana tetapi cukup licin dan kemas.

Koleksi untuk wanita ditampilkan kolaborasi gaya bersahaja yang natural dengan percikan warna-warna terang melalui konsep suai dan padan.

Penampilan pasti nampak elegan dengan seluar putih potongan lurus daripada fabrik linen dan benang kapas lembut dipadan bersama blaus bercetak. Boleh juga ditukar gaya dengan padanan blaus tanpa lengan untuk santai ke pantai atau minum-minum di kopitiam bersama rakan.

Tampilkan bersama aksesori yang sesuai seperti topi jerami, selipar mahupun gelang tangan.

Ke pejabat pula tukar kepada dres dengan warna-warna hangat seperti ungu dan kuning lembut.

Tidak ketinggalan si jejaka dengan gaya yang lebih kemas, licin dan ringkas. Hujung minggu memadai dengan baju T polo yang dipadan dengan seluar paras lutut daripada fabrik benang kapas untuk gaya santai.

Koleksi untuk ke pejabat juga ringkas dengan kemeja lengan pendek ditambah jaket pada bahagian luar cukup untuk kelihatan segak dan kemas.

Pilihan warna juga tidak terlalu menonjol daripada rangkaian warna biru, putih dan warna-warna semula jadi - sesuai bagi mereka yang mahu mengekalkan sedikit elemen-elemen gaya konservatif.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: