Tuesday, May 18, 2010

Raja Azmi Berang Karya Diciplak!

PRODUSER filem terkenal, Raja Azmi berang apabila mengetahui karyanya diciplak selepas menonton telefilem, Cinta Hantu di Astro Prima, 9.30 malam Ahad lalu.

Lalu beliau segera menghubungi serta menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada penerbit Wydia yang pernah mendapatkan skrip daripadanya tahun lalu untuk mendapatkan penjelasan.

Raja Azmi juga menghubungi bos Wydia iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Sedania, Azrin Mohd Noor.

"Saya tanya mereka dari mana mereka dapat idea tersebut. Kenapa curi idea saya?" katanya kepada mStar Online hari ini.

Menurut Raja Azmi, Wydia pernah menanyanya sama ada mempunyai sebarang skrip telemovie untuk dihantar ke Astro.

"Saya telah menghantar dua tajuk berserta sinopsis kepada penerbit Widya pada Julai tahun lalu. Dua tajuk tersebut ialah Isi Rimba dan Hantu Bapuk," katanya.

Bagaimanapun Raja Azmi mendakwa, pihak terbabit telah mencuri idea dan menukarkan skripHantu Bapuk kepada Cinta Hantu.

Idea asas telemovie itu seperti idea asal miliknya, kata beliau, adalah terdapat persatuan hantu di sebuah kampung.

"Kebetulan pula seekor hantu itu jatuh cinta kepada seorang gadis di kampung itu," ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai penjelasan daripada Wydia mahupun Azrin, Raja Azmi memberitahu, Azrin telah memberikan maklumbalas kepadanya menerusi SMS.

Katanya, SMS Azrin itu adalah SMS yang dihantar oleh Wydia kepada bosnya.

"SMS itu menyatakan skrip asal Hantu Bapuk saya telah ditolak oleh Astro dan Astro mencadangkan penulis lain menulis semula skrip itu.

"Sekiranya betul dakwaan Wydia, kenapa dia tidak menghubungi saya dan mendapatkan kebenaran daripada saya?" katanya.

Raja Azmi mengakui pernah mendengar kes karya produser diciplak oleh syarikat produksi sejak beberapa tahun.

Kini dia sedar ia kini berlaku pada dirinya sendiri.

"Ini tidak adil! Saya tahu ramai mangsa yang kurang dikenali terpaksa makan hati kerana mereka tidak dapat mengadu.

"Oleh kerana ia berlaku pada diri saya, saya anggap ia adalah satu blessings in disguise," katanya.

Ini bermakna Raja Azmi akan menemui pihak Astro untuk mengetahui perkara sebenar.

Tegasnya, tindakan seterusnya adalah menuntut bayaran untuk idea asalnya itu.

Beliau menegaskan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menciplak karyanya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: