Wednesday, May 19, 2010

Percuma dua bulan

SEKURANG-kurangnya 25,000 pengguna lebuh raya bakal memperoleh manfaat menerusi laluan baru iaitu Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) yang boleh digunakan secara rasminya, semalam.

RASMI...Shaziman (dua dari kiri)  dan Hamad Kama (kiri) selepas  perasmian LKSA di Plaza Tol Alam Impian, semalam.
RASMI...Shaziman (dua dari kiri) dan Hamad Kama (kiri) selepas perasmian LKSA di Plaza Tol Alam Impian, semalam.
Menariknya, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) menerusi anak syarikatnya, Projek Lintasan Shah Alam menawarkan penggunaan percuma laluan itu bagi tempoh dua bulan.


Pengerusinya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata menerusi LKSA, pengguna dapat menempuh perjalanan dari Lebuhraya Kesas ke Lebuhraya Persekutuan hanya dalam 10 minit berbanding setengah jam sebelum ini.

“Ini dapat mengurangkan penggunaan bahan api dan menjimatkan masa pengguna.

“LKSA juga mampu memainkan peranan sebagai pemangkin pembangunan dan sosio ekonomi setempat dengan nilai hartanah dijangka meningkat.

“Malah, lebih banyak projek perumahan, perindustrian dan komersial bakal dibangunkan berikutan laluan keluar masuk lebih baik di lebuh raya ini,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran lebuh raya itu di Shah Alam, semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.


Mengulas lanjut, Hamad Kama Piah berkata, LKSA yang menggunakan sistem tol terbuka disiapkan dalam tempoh 33.5 bulan, dua bulan setengah lebih awal daripada jangkaan asal.


“Lebuh raya ini mempunyai jarak 14.7 kilometer (km) dan menelan belanja keseluruhan RM750 juta.


“Apa yang membanggakan, kami dapat menyiapkan pembinaannya dalam tempoh cuma 33 setengah bulan berbanding jangkaan asal 36 bulan walaupun berdepan pelbagai cabaran antaranya proses pengambilalihan tanah berlaku serentak dengan pembinaan dan kenaikan harga bahan binaan yang begitu mendadak di sepanjang tempoh pembinaan,” katanya.


Sementara itu, Shaziman berkata, kesanggupan Prolintas memberi penggunaan percuma dua bulan kepada pelanggan yang menggunakan LKSA patut dicontohi syarikat lain.


“Keputusan ini dicapai selepas saya mengadakan perbincangan 10 minit dengan Tan Sri (Hamad Kama Piah) tadi (semalam).


“Saya diberitahu belum ada tawaran seperti ini dibuat syarikat lain sebelum ini, sekali gus menjadikan Prolintas syarikat pertama berbuat demikian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, kementerian sedang mengkaji untuk membina laluan alternatif bagi menghubungkan Sungai Besi ke persimpangan Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) di Setiawangsa berikutan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) kini digunakan melebihi kapasiti sepatutnya.

“Kajian ini dijangka selesai akhir tahun ini. Jumlah trafik di MRR2 kini mencecah 180,000 ke 200,000 kenderaan sehari, jauh melebihi kapasiti yang direka untuk menampung 100,000 ke 120,000 kenderaan sehari,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: