Sunday, May 9, 2010

Penyegaran Double Trouble


20,000 penonton pulang dengan senyuman dan kepuasan maksimum bersama Search dan Wings.


TIDAK sia-sia berjalan kaki berkilometer, tidak juga jadi penyesalan untuk bermandi keringat sepanjang berada di Arena Tertutup, Bukit Kiara Equestrian, Kuala Lumpur. Ini kerana harga yang dibayar untuk segala pengorbanan itu melebihi jangkaan.

Konsert Double Trouble anjuran Adepnet Sdn. Bhd. yang berlangsung 1 Mei lalu menghadiahkan satu momen dan pengukiran sejarah di hati peminat Search dan Wings.

Melodi yang menerjah telinga diibaratkan antem buat peminat setia Wings dan Search. Pembukaan dengan lagu Gemuruh sudah membuatkan semangat penonton terus memuncak.

Termometer ghairah dan gemuruh meningkat berserta teriakan vokal yang mengiringi setiap bait nyanyian Amy dan Awie. Peralatan sistem bunyi yang disediakan oleh pihak Mubari memuaskan hati walau pada lagu-lagu awalnya sedikit menggusarkan pendengar.


GAYA seorang gitaris hebat – Kid.


Paranoid, Analogi, Puisi Merdeka dan Gema Di Inderaloka dibawakan pada set permulaan konsert ini oleh kumpulan gergasi Malaya ini. Berentetan pula lagu-lagu bersejarah mereka yang sentiasa terpahat di hati dan bibir peminat.

Ini bukan konsert hanya Search dan Wings, tapi konsert sejagat. Bak kata Awie, konsert yang bakal terpahat dalam arkib hiburan Malaysia.

Momen magis konsert ini juga terletak pada lagu Nur Nilam Sari yang tidak pernah dibawakan di mana-mana konsert oleh kedua-dua vokalis. Instrumentasi dan pencahayaan mendorong roller coaster emosi 20,000 penonton naik dan terus naik untuk setiap lagu yang disampaikan.

Jujurnya, Wings memberi persembahan yang cukup mantap malam itu. Ramai yang menamakan Joe dan Black sebagai ‘men of the night’ kerana permainan gitar dan drum mereka tidak ubah seperti dalam kaset atau CD.


MALAM 1 Mei akan tersemat dalam arkib hiburan tanah air sebagai malam sebuah konsert yang gempak!


Berbeza sedikit dengan Din dan Kid yang tampak goyang malam itu. Namun, walau apa pun pahat yang berbunyi setelah rumah siap, semua sembilan bintang rock ini telah memberikan sepenuh jiwa dan raga mereka untuk peminat yang merindui mereka selama 17 tahun.

Salam 17 tahun yang disambut baik peminat mereka ini bakal diteruskan lagi apabila Stadium Larkin, Johor Bahru dinamakan venue selanjutnya untuk konsert yang sama.

Amy yang mengibaratkan Johor sebagai Kota Rock, teruja menyeru peminat-peminatnya untuk berkampung di negeri kelahirannya itu. Bagi yang merindui lagu-lagu seperti Pawana, Fantasia Bulan Madu atau Bernafas Dalam Lumpur yang tidak dinyanyikan malam 1 Mei lalu, itulah tempat yang anda harus tuju 5 Jun nanti.

Awie dan Amy selaku jurucakap kedua grup ini terlebih dahulu memohon maaf kepada penonton yang gagal memasuki konsert tersebut. Ditemui selepas konsert, kedua-duanya memancar wajah puas.


KETUKAN Black memang solid dan menyerlah.


“Ini konsert anak Malaysia buat anak Malaysia,” patrioisme Awie berkata-kata.

Pembawaan lebih 25 buah lagu dengan diakhiri lagu petikan album Jerangkung Dalam Almari, Rock & Roll Lu Punya Suka bukan sekadar mengheret kembali sejarah perjalanan peminat bersama kumpulan tersebut. Lebih daripada itu, ia adalah harga jiwa yang sentiasa muda dan setia kepada produk yang hebat dan bertenaga.

Secara hipotesis, jika 17 tahun lalu mendengarkan lagu di album Double Trouble 1 pada usia belasan tahun, malam itu Search dan Wings memberikan mereka rasa keremajaan itu kembali.

Sejarah baru sudah tercatat, usaha produksi dan gabungan vokal dan instrumentasi yang berjiwa besar telah berhasil memenuhi harapan yang tinggi tanpa tajaan yang besar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: