
WALAUPUN wang yang ditawarkan kecil, tetapi kesalahan mengambil rasuah tetap besar di sisi undang-undang negara.
Enggan menjadi mangsa perangkap wang haram itu, lima anggota Maritim Malaysia (APMM) dari Daerah Maritim ke-2, Pulau Pinang berpegang kepada amanah apabila menolak wang sogokan yang diberi.
Ketegasan dan integriti tinggi mereka diiktiraf oleh Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang dengan menganugerahkan sijil penghargaan kepada mereka baru-baru ini.
Sijil tersebut disampaikan oleh Timbalan Pengarah SPRM negeri, Mohd. Noor Abd. Rahman pada Majlis Pelancaran Kempen Bersama Lakukan Perubahan Perangi Rasuah di Kompleks SPRM negeri penghujung April lalu.
Menceritakan kembali kejadian itu, Pegawai Waran II Ramlan Yasin yang mengetuai rondaan itu berkata, ia berlaku semasa pasukannya melakukan rondaan berhampiran Gertak Sanggul pada Oktober lalu.
Empat anggota lain ialah Bintara Muda Saiful Adli Abd. majid, Laskar Kanan Mohd. Azhar Che Azmi, Laskar Kelas I (LK I) Ahmad Fadzil Hashim dan LK II Mohd. Shukri Kamis.

"Kami menaiki bot Kilat 26 pada pukul 4 pagi dan terserempak dengan sebuah bot ikan yang mencurigakan kerana tidak memasang lampu lalu kami menghampirinya.
"Bot terbabit cuba melarikan diri dan selepas dikejar akhirnya kami berjaya menahan tekong dan awak-awaknya serta berusaha hendak melepaskan diri dengan menawarkan RM200 kepada kami," katanya.
Beliau sebaliknya menolak sogokan itu dan mengarahkan bot dibawa balik ke jeti serta melaporkan kesalahan yang dilakukan oleh tekong tersebut, manakala aduan cubaan merasuah pula dilaporkan kepada SPRM negeri.
Selain mereka, 11 penjawat awam dari pelbagai agensi yang menolak tawaran rasuah turut menerima penghargaan serupa.
Mereka ialah Cif Inspektor Nor Salawati Saad, Koperal (Kpl) E. C. Esau dan Koperal Aznol Othman dari Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.
Empat anggota Balai Polis Bayan Baru juga menerima anugerah sama iaitu ASP Roslan Masjin, Lans Korperal (L/Kpl) Kamarul Norau, L/Kpl Muhamad Azrul Rashid Rosdi dan L/Kpl Mohd. Shukor Mat Piah.
Selain itu, Kpl K. Irabathom dan Konstabel M. Mathavan dari Cawangan Kereta Peronda Balai Polis Bayan Lepas dan L/Kpl Syed Mohd. Rohaidi Syed Mohd. Apindi dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.
Amaran keras
Seorang penerima lagi ialah Munawar Kabir Mohd. Zainal Abidin dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pulau Pinang.
Sementara itu, Mohd. Noor dalam ucapannya pada majlis itu melontarkan amaran keras kepada pemberi dan penerima rasuah kerana gerak-geri mereka tidak selamanya selamat daripada dihidu oleh pihak berkuasa SPRM.
Tegasnya, SPRM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tanpa mengira bulu dan kini melancarkan operasi bersepadu besar-besaran penyangak rasuah ini.
Mohd. Noor Abd Rahman berkata, ia akan dijalankan menerusi pelbagai operasi bersama antaranya dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pihaknya akan meletakkan pegawai-pegawai di beberapa buah tempat yang telah dikenal pasti di sekitar Pulau Pinang berlakunya kegiatan rasuah.
"Jika kita lihat dalam kebanyakan kes yang SPRM berjaya selesaikan, mereka yang ditahan rata-ratanya membabitkan penerima rasuah di kalangan penjawat awam.
"Jadi, untuk tahun ini, kita lebih memberi tumpuan kepada yang memberi rasuah kerana mereka lebih berbahaya daripada yang menerima, tiada pemberi maka tiada penerima," tegasnya.
Mengulas lanjut, Mohd. Noor berkata, majlis anugerah itu wajar dijadikan simbol kejayaan kepada orang ramai agar sama-sama membantu kerajaan menerusi SPRM memerangi jenayah rasuah.
"Bagi tahun ini, SPRM negeri menyasarkan 20 tangkapan membabitkan pemberi rasuah berbanding enam yang berjaya dibuat tahun lalu," ujarnya.
Pada masa sama, menurut beliau, pihaknya juga memberi tumpuan kepada kes-kes berprofil tinggi. Sekurang-kurangnya satu kes seumpama itu akan disasar untuk diselesaikan tahun ini.
Katanya, kejujuran yang ditunjukkan penjawat-penjawat awam itu perlu dicontohi dan dijadikan budaya kerja kepada semua lapisan masyarakat serta tidak terhad kepada kakitangan kerajaan sahaja.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: