Tuesday, May 25, 2010

NET tawar servis untuk semua bot


ABDUL KADIR menunjukkan sebahagian daripada enjin bot yang dijual di pejabatnya di Puchong.


PUCHONG - Apakah rasionalnya membuka perniagaan yang berkaitan dengan marin di Puchong yang umumnya sinonim dengan sektor pengeluaran, automobil dan perkhidmatan?

Bagi Abdul Kadir Niang, beliau mempunyai jawapan tersendiri. Malah operasi Niangs Engineering and Trading (NET) di Bandar Bukit Puchong 2, dekat sini mencerminkan strategi pernigaaan marinnya yang kini berkembang pesat.

"Banyak yang beranggapan perniagaan berkaitan marin mesti di tepi laut tetapi ia tidak semestinya begitu.

"Pemilihan Puchong sebagai lokasi perniagaan kami ada sebab dan potensi tertentu. Ia berhampiran dengan Putrajaya yang menempatkan kebanyakan pejabat pelanggan utama kami selain mengelak kesesakan lalu lintas,'' katanya dalam satu pertemuan baru-baru ini.

NET adalah antara syarikat bumiputera yang berkembang dalam bidang marin di negara ini.

Ia memberi tumpuan kepada perkhidmatan menjual dan membaiki enjin sangkut dan enjin dalam bot.

Pada tahun lepas nilai urusniaganya mencecah hampir RM1.8 juta dengan pelanggan utamanya ialah agensi penguat kuasa kerajaan seperti kastam dan Maritim Malaysia (APMM).

Menurut Abdul Kadir yang merupakan pengasas dan Pengarah syarikat itu, pada ketika ini pihaknya diberi kontrak membaiki enjin bot-bot agensi-agensi berkenaan sama ada dijalankan secara berkala atau sebaliknya.

"Kami menawarkan perkhidmatan servis atau membaik pulih bot hampir semua kelas sama ada di bengkel saya di Bandar Bukit Puchong 2 atau ke lokasi-lokasi pantai bot-bot berkenaan di Pelabuhan Klang, Johor atau sejauh Kota Kinabalu,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: