Tuesday, May 18, 2010

Nabil cuba peluang kedua


BANGGA... Kejayaan
di Beijing beri semangat pada Nabil.


LIMA tahun lalu, program realiti nyanyian pertama terbitan Primeworks Studio, Mentor berjaya mengangkat nama Nabil Zamanhuri atau Nabil walau pun hanya bergelar naib juara setelah ditewaskan oleh Pija.

Namun, entah di mana silapnya, setelah melancarkan singlenya berjudul Hati Ini pada tahun 2006 dan Hey Emma (2007), nama penyanyi remaja berusia 23 tahun ini tenggelam timbul dalam arus perdana muzik tanah air.

Selang beberapa tahun kemudian, nama Nabil muncul semula apabila single ketiganya, Dari Jauh dilancarkan. Kelibatnya mula kelihatan di kaca televisyen apabila mula menceburkan diri dalam bidang lakonan.

Sayangnya, ia masih gagal mengukuhkan nama dalam bidang seni. Apa yang nyata populariti yang dicari tidak ke mana perginya. Nama Nabil bagaikan suam-suam kuku di arena seni suara.

Bagaimanapun, pada tanggal 7 Mei lalu, Nabil membuktikan bahawa dirinya bukan sahaja boleh menjadi penyanyi yang disegani, bahkan seorang komposer muda yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Mewakili negara di Pertandingan Penyanyi Baru Asia yang ke-11 di Beijing yang dahulu dikenali Shanghai Asia Music Festival, Nabil merangkul dua anugerah iaitu Naib Juara Lagu Terbaik menerusi lagu Dari Jauh hasil ciptaannya sendiri dan Lah Ahmad serta anugerah Penyanyi Harapan Asia 2010.

Baru-baru ini ketika ditemui di pejabat Alibi Music, Mutiara Damansara, Nabil berkata: "Saya harap dengan kemenangan ini ia memberi peluang kedua kepada saya untuk membuktikan kepada peminat bahawa saya bukan sahaja boleh menjadi penyanyi yang baik bahkan seorang komposer yang bagus.

"Sudah semestinya kejayaan ini memberikan saya semangat baru untuk terus berjuang dalam bidang seni yang penuh cabaran ini."

Di samping itu, kejayaannya menggenggam trofi idaman ramai artis baru dari seluruh dunia itu membuatkan Nabil semakin berkobar-kobar untuk terus menghasilkan lagu menarik serta membuktikan muzik Malaysia mampu diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Dengan penuh yakin, Nabil mensasarkan pada 10 tahun akan datang, beliau mampu untuk mengorak langkah lebih jauh dengan memiliki empayar seninya yang tersendiri termasuklah syarikat produksi dan rakaman yang bakal menerbitkan filem drama serta album nyanyian.

"Lebih banyak saingan, ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk memperbaiki diri," jelas penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Filem dan Animasi, Universiti Multimedia itu.

Kejayaan sulung di peringkat antarabangsa

Kejayaan Nabil dalam pertandingan yang berlangsung pada 28 April hingga 7 Mei lalu merupakan kejayaan yang pernah diraih oleh Datuk Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Deja Moss, Misha Omar, Jaclyn Victor, Ezylnn dan Shila.

Menurut Nabil, ia adalah pertandingan antarabangsa pertama yang disertainya sejak bergelar anak seni.

"Saya cukup terharu dan gembira dengan pengiktirafan yang diberikan ini. Paling membanggakan apabila lagu ciptaan saya dan Lah Ahmad, Dari Jauh mendapat tempat kedua dalam kategori Lagu Asal Terbaik.

"Ini adalah lagu saya yang pertama dan tidak sangka ia boleh melangkah sejauh ini," katanya yang hadir bertemankan ibu tercinta, Fatimah Abdullah.

Sebelum bertolak ke Beijing, Nabil bersama-sama Rizu, Shila, Nadia dan Iz Suliani berjaya melayakkan diri di peringkat akhir bagi pemilihan peserta untuk menyahut cabaran negara ke pertandingan World Championship Of Performing Arts (WCOPA) di Hollywood Julai nanti.

Bagaimana pun, nasib tidak menyebelahi Nabil yang ketika itu mengalami masalah kesihatan akibat sakit tekak.

Kementerian pilih Nabil

Penyertaan Nabil ke festival nyanyian itu adalah atas pemilihan yang dilakukan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang dilantik Jawatankuasa Festival Muzik Asia Shanghai.

Daripada tiga nama yang dikemukakan oleh kementerian, nama Nabil dipilih berdasarkan bakat dan potensi yang ditunjukkan beliau setelah keluar Mentor.

"Apabila diberitahu, saya seakan-akan tak percaya dan terkejut kerana bukan senang untuk menggalas tugas seberat itu tetapi saya kuatkan semangat dan tanamkan dalam diri yang saya boleh buat.

"Tanggungjawab untuk mengharumkan nama negara selain mahu mencatat sejarah peribadi menjadi pendorong kepada saya untuk lakukan yang terbaik pada malam pertandingan," katanya menceritakan detik bersejarah itu.

Justeru itu, Nabil mengambil inisiatif untuk mengikuti kelas vokal di bawah bimbingan penyanyi Dia Fadila dan komposer Adnan Abu Hassan manakala yuran ditanggung sepenuhnya oleh kementerian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: