Friday, May 28, 2010

Moonlight Bay siap Ogos ini


PROJEK mewah Moonlight Bay, Batu Feringghi yang berada di lokasi strategik telah menarik perhatian pelabur asing dan tempatan.


BATU FERINGGHI - Syarikat pemaju hartanah terkenal negeri ini, Ivory Properties Group (Ivory) berjaya menyiapkan projek kediaman eksklusif Moonlight Bay lebih awal dan ia bakal diserahkan kepada pembeli Ogos nanti.

Kediaman vila mewah berinspirasikan rekabentuk Mediteranean yang terletak di Jalan Batu Feringghi itu menyajikan panorama indah pantai Batu Feringghi yang dibina di atas bukit seluas enam hektar.

Menurut Pengarah Projeknya, Murly Manokharan, pembinaan kediaman berteres di kawasan bercerun itu juga menepati standard tahan gegaran seperti mana yang digunakan di Amerika Syarikat dan Eropah.

"Dibina di kawasan bercerun dari aras laut, Moonlight Bay menggunakan teknologi kejuruteraan tempatan dan Hong Kong yang mengambil kira aspek keselamatan.

"Binaan cerucuknya pula cukup kukuh dan mampu menampung beban bangunan yang memiliki ketinggian 10 tingkat,'' katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Murly menjelaskan, projek kediaman tersebut berdensiti rendah kerana syarikat hanya membangunkan kira-kira 50 peratus sahaja daripada kapasiti sebenar selain menekankan aspek pemuliharaan persekitaran hijaunya.

Kediaman dengan ciri-ciri ala pusat peranginan ini meliputi pembinaan 70 unit vila mewah empat tingkat pada harga di antara RM2.7 juta hingga RM4.6 juta dan 20 unit kondominium vila mewah dengan harga permulaan RM1.38 juta seunit.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: