Tuesday, May 4, 2010

Memperkasa skil pendidik prasekolah




DISEBABKAN asuhan dan persekitaran baik yang disediakan oleh bapanya, Farah Mahami Tan Sri Datuk Mustapha Kamal, 28, mendapat idea untuk menjadikan bidang pendidikan awal kanak-kanak sebagai cabang perniagaannya.

Idea itu terlaksana sejurus selepas Farah Mahami atau lebih mesra dengan panggilan Farah menamatkan pengajian Sarjana Pengurusan Sumber Manusia dan Etika Pengurusan dari Universiti Curtin, Australia.

"Sepanjang belajar di sana, ibu ayah selalu datang menjenguk dan mereka akan membawa dua set buku untuk pembelajaran saya. Ayah juga sanggup mengambil cuti selama sebulan untuk mengulang kaji pelajaran bersama saya.

"Saya mahu kanak-kanak di Malaysia juga terdedah dengan persekitaran yang baik, tidak kira sama ada kanak-kanak itu berada di kampung atau lahir sebagai kanak-kanak istimewa. Disebabkan itu saya menubuhkan syarikat Educate To Learn (e2L)," katanya.

"Di bawah e2L, terdapat anak syarikat iaitu Institut Perkembangan Awal Kanak-kanak (IEYD). Antara elemen yang diterapkan adalah pembangunan fizikal, alat bantu mengajar dan guru yang bukan sahaja mempunyai pendidikan meluas dalam pendidikan kanak-kanak tetapi juga memiliki kemahiran mengajar dan mendidik," katanya yang tidak bekerja di bawah syarikat ayahnya tetapi memilih untuk membuka perniagaan sendiri atas dasar prihatin terhadap pendidikan kanak-kanak.


MOHAMAD AMIN SAARANI (kiri) bertindak sebagai salah seorang tenaga pengajar bagi guru pelatih di e2L.


Menurut Pengarah Eksekutif e2L itu, organisasi tersebut bukanlah sebuah pusat pendidikan kanak-kanak seperti taska atau tadika, tetapi lebih kepada pendidikan untuk melahirkan guru-guru yang berkemahiran serta memiliki keterampilan berkualiti untuk mengajar kanak-kanak.

Program yang dirancang bukan sahaja untuk mereka yang baru sahaja menamatkan pengajian tetapi juga untuk mereka yang berminat mendalami bidang itu termasuk guru, pengasuh, ahli pertubuhan bukan kerajaan, kakitangan kerajaan dan sebagainya.

Program yang memfokuskan kepada diploma pendidikan awal kanak-kanak dan mendapat Perakuan Akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (AKM) itu adalah berasaskan kajian dalam dan luar negara yang menepati keperluan nilai dan prinsip kebudayaan tempatan.

"IEYD juga memberi pendedahan kaedah menjadi guru yang baik, membina personaliti dan cara melatih kanak-kanak yang tidak mempunyai sebarang pengetahuan," kata Penolong Pendaftar Hal Ehwal Pelajar e2L, Norazura Abdul Hamdi pula.


INSTITUT Perkembangan Awal Kanak-kanak (IEYD) menggunakan pendekatan belajar melalui bermain kepada bakal guru tadika.


Norazura memberitahu, IEYD yang ditubuhkan pada tahun 2005 itu telah melahirkan 16 graduan yang kini sesetengah daripadanya telah pun memperoleh pekerjaan dan membuka sendiri tadika mereka.

"IEYD juga menggunakan pendekatan belajar melalui bermain sebagai bantuan untuk mendidik kanak-kanak. Program i-play yang berlandaskan konsep bermain merupakan kaedah pembelajaran yang bersesuaian dengan fitrah dan naluri kanak-kanak.

"Dengan adanya i-play ini, ia dapat merangsang otak kanak-kanak. Sebagai contoh, ada kanak-kanak yang saya dapati menghafal huruf tetapi tidak mengenali huruf. Mereka boleh menyebut huruf A sampai Z. Tetapi apabila ditunjukkan huruf-huruf tersebut mereka tidak mengenalinya.

"Kit Lipatan dan Doh i-play merupakan produk inovatif dan interaktif terbukti berjaya membantu kanak-kanak mengecam huruf kecil a dan z, dalam masa dua bulan," kata Farah yang turut mengeluarkan produk i-play.

Ia memainkan peranan yang penting dalam mewujudkan perkembangan dan pembetukan diri kanak-kanak dari segi intelek, rohani, emosi, sosial dan jasmani.


PROGRAM di IEYD mendapat Perakuan Akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (AKM).


Sementara itu, menurut salah seorang pelajar IEYD, Nabilah Shahira Mohamad Saad, 20, selepas belajar di IEYD, baru dia sedar bagaimana cara mendidik dan mengajar kanak-kanak dengan betul.

"Sememangnya saya suka dengan kanak-kanak. Sebelum ini pun saya pernah mengajar anak-anak buah saya, namun pendekatan saya tidak berjaya.

"Di IEYD, saya diajar bagaimana untuk menerapkan sistem belajar sambil bermain kerana ia boleh memberi kesan positif kepada kanak-kanak," katanya yang memilih bidang tersebut sejurus sahaja tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana menyukai kanak-kanak.

Nabilah yang akan memasuki semester akhir di IEYD, menyimpan keinginan memiliki sebuah tadika sendiri di negeri kelahirannya, Pahang.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: