Saturday, May 8, 2010

Melodi Cinta Rossa

Bunga-bunga cinta kelihatan dari riak bicaranya. Tertawa dan dari sinar matanya, dapat ditafsirkan Rossa sedang dilamun cinta. Mungkin semua maklum Rossa sudah bertemu pengganti, namun hatinya lebih teruja apabila impian mengadakan konsert di Malaysia bakal menjadi nyata 29 Mei ini.

Asyik dilamun cinta, Rossa lebih senang mengalunkan lagu-lagu romantis seperti Ayat-Ayat Cinta, Nada-Nada Cinta, Atas Nama Cinta, Terlalu Cinta, Pudar dan banyak lagi. Konsert Melodi Cinta ini juga bakal menampilkan Ungu, ST12 dan Aizat sebagai tamu undangan.

"Saya harap semuanya berjalan lancar. Memang takut jika tiada yang datang menonton, namun saya tiada niat untuk bersaing dengan sesiapa. Buat masa ini 50 peratus tiket sudah terjual dan diharap semua lapisan peminat berpeluang menyaksikannya kerana tiket dijual mengikut kemampuan semua.

"Ini konsert saya yang pertama di Malaysia, harapnya ia berbaloi dan saya pasti akan berikan yang terbaik buat peminat," ujar Rossa yang turut menampilkan anak-anak dari Permata Seni dalam konsert tersebut.

Nampaknya Rossa semakin berseri-seri sejak kehadiran insan baru dalam hidup untuk berkongsi suka duka. Gelak tawa Rossa menyerikan perbualan walau sedari pagi wanita ini perlu menjalankan tanggungjawabnya bertemu pihak media.

"Ada pacar atau tidak, saya memang begini, selalu gembira. Namun saya akui, kehadiran dia buatkan saya lebih bersemangat untuk berkarya. Tetapi fokus utama saya tetap kepada anak-anak," katanya masih belum mempunyai perancangan untuk melangkah ke alam perkahwinan.

Konsert Melodi Cinta ini turut ditaja oleh syarikat penerbangan Air Asia. Konsert ini bakal diadakan di Stadium Putra Bukit Jalil, jam 8.00 malam. Singapura dan Brunei akan menjadi destinasi Rossa yang seterusnya selepas Malaysia.

Bagi peminat yang ingin menempah tiket, sila layari laman web www.axcess.com.my atau hubungi 03 - 7711 5000. Tiket boleh didapati dari harga RM50, RM100, RM200, RM250, RM300 dan RM350. Sebahagian hasil tiket akan diserahkan kepada badan kebajikan kanak-kanak Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: