Thursday, May 27, 2010

Madrasah Manbaul Uloom terima sumbangan TV9


Memukau...persembahan nasyid bahasa Arab oleh murid-murid madrasah menyerikan majlis.


SELAIN menjalankan tanggungjawab sebagai penyebar maklumat, stesen televisyen swasta, TV9 tidak lupa kepada tanggungjawab sosial korporat mereka (CSR).

Kali ini Madrasah Manbaul Uloom, Segambut, Kuala Lumpur menjadi pilihan TV9 sempena ulang tahun keempat stesen tersebut.

Pada majlis itu, TV9 menyampaikan sumbangan wang tunai RM2,000, naskhah al-Quran dan Yasin untuk kegunaan jemaah madrasah tersebut.

Sumbangan disampaikan oleh Penerbit Halaqah, Ahmad Noor Sulaiman kepada Pengerusi madrasah, Moulana Hikmath Ali, awal bulan lalu.

Majlis berlangsung selepas solat Maghrib berjemaah iaitu dengan bacaan doa selamat sempena ulang tahun stesen TV9.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid dalam bahasa Arab oleh murid-murid madrasah tersebut.

Moulana dalam ucapannya berharap, pihak TV9 dapat melihat ciri-ciri kemuafakatan yang ada pada anak-anak kariah madrasah berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada TV9 di atas kesudian memberi sumbangan untuk kemaslahatan penduduk sekitar.

"Saya juga berharap hubungan pihak Madrasah dan TV9 akan sentiasa berkembang dan mekar sepanjang masa terutamanya dalam bidang dakwah khususnya melalui media yang paling efektif iaitu media elektronik.

"Semoga segala yang sedang dan bakal dilaksanakan mencapai objektif serta matlamat sebenarnya. Antaranya penubuhan sekolah tahfiz yang sedang giat berjalan, program dakwah, kebajikan dan lain-lain yang mampu membawa madrasah ini ke era yang lebih gemilang," katanya.

Madrasah Manbaul Uloom ditubuhkan secara rasminya pada tahun 1979 dan berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Sehingga kini, usianya menjangkau 31 tahun dan telah melaksanakan pelbagai aktiviti keagamaan, sosial dan kebajikan.

Antaranya, kelas pengajian al-Quran, muqaddam dan fardu ain (harian), majlis ratib, kelas-kelas pengajian (mingguan) selain pelbagai program imarah pada Ramadan serta hari-hari kebesaran Islam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: