KUCHING: “Cinta saya terhadap suami tak berbelah bagi. Saya tetap menunggunya demi anak dalam kandungan ini,” kata Steffanie Liana anak Langka, 15, sebaik tiba di tanah air selepas dibawa pulang dari Lombok, Indonesia, pagi semalam.
Steffanie atau nama Islamnya Liana, dilarikan lelaki Lombok, Tohri Jadi Jaya, 22, yang mendakwa sudah mengahwini lelaki itu, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini, kira-kira jam 11 pagi sambil ditemani Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhammad Khairun Aseh.
“Saya gembira kerana selamat sampai ke sini (Sarawak). Saya mahu memeluk ibu dan keluarga yang lain kerana saya amat merindui mereka.
“Sudah lama saya tak bertemu mereka. Kerinduan saya terhadap keluarga makin menebal sejak saya ke sana (Lombok),” katanya.
Ibu muda yang kini hamil lima bulan dan bakal menyambut hari jadi ke-16 pada Hari Gawai 1 Jun ini berkata, dia mengenali suaminya hanya tiga hari sebelum mereka berkahwin pada Oktober lalu.
Katanya, dia dibawa ke Indonesia menaiki kereta melalui sempadan Tebedu-Entikong menuju Pontianak.
Menurutnya, suaminya sebelum ini bekerja sebagai pemandu jengkaut dan perkenalan singkat itu bermula selepas lelaki terbabit menjalankan kerja menggali parit di belakang rumahnya.
“Saya hanya mengenalinya tiga hari. Saya mengikut suami selepas diberitahu mengenai Lombok yang begitu popular selain berjanji menghantar saya kembali ke Malaysia.
“Saya berkahwin dengannya pada Oktober tahun lalu di sini dan dibawa ke Indonesia 26 Mac lalu. Sebaik tiba di Pontianak, kami menaiki penerbangan menuju ke Lombok,” katanya.
Ditanya bagaimana kehidupan di sana, Liana berkata, dia berdepan kesukaran terutama untuk membeli barangan keperluan kerana suaminya tidak memiliki wang.
“Kalau untuk makan, memang ada. Keluarga mereka ada membela haiwan ternakan dan mereka sembelih untuk dijadikan hidangan. “Tapi kami terpaksa hidup dalam keadaan sederhana kerana perbelanjaan harian kami hanya bergantung kepada duit hasil pekerjaan suami di Malaysia sebelum kembali ke Lombok,” katanya.Menurut Liana, walaupun kini sudah kembali ke pangkuan keluarga, dia masih berharap untuk meneruskan hidup bersama suaminya terutama selepas melahirkan anak sulung.
“Saya masih sayangkan dia dan mahu dia sentiasa di sisi terutama ketika saat melahirkan anak kami nanti,” katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan usaha membawa Liana pulang ke kampung halamannya di Rumah Nangkai Nanga Manga, Mukah, tergendala selepas dia ditahan untuk tempoh tertentu di Pusat Detensi (tahanan) Derektorat Keimigrasian Indonesia di Jakarta. Ini ekoran kesalahan dilakukannya kerana memasuki negara itu secara haram. Sebelum itu, dia berjaya dikeluarkan dari pulau itu ke Jakarta dengan bantuan polis antarabangsa (Interpol) pada Khamis lalu dan dibebaskan petang kelmarin.
Sementara itu, Muhammad Khairun berkata, pihaknya menerima laporan daripada keluarga Liana mengatakan dia hilang dan dipercayai diculik.“Kami berjaya mengesannya di daerah Timur Lombok menerusi Interpol minggu lalu. Kami menghantar wakil ke pulau berkenaan untuk membebaskan dia daripada tahanan di rumah,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: