Sunday, May 23, 2010

Kekecewaan Utopia


AFEE (kiri) dan Dalila berkolaborasi untuk album Mimpi.


AFEE Utopia menyokong cadangan Skim Wajib Siar Lagu di radio yang dibentangkan ketika sesi taklimat mengenai pelaksanaan skim itu di Finas baru-baru ini.

Vokalis kumpulan Utopia yang pernah popular dengan lagu Mithali Cintaku ini juga merasakan jika berjaya, skim itu akan memberi keadilan kepada penyanyi yang memohon lagu mereka disiarkan di stesen radio swasta ataupun kerajaan.

Bagi Afee atau nama sebenarnya Mohamad Safee Soefjan, sebelum ini lagunya pernah tidak disiarkan sesetengah radio walaupun lagu itu menduduki carta nombor dua di sebuah stesen radio lain.

Katanya, alasan yang stesen itu berikan ialah lagunya tidak kena dengan konsep yang stesen radio itu bawakan.

"Saya agak kecewa tetapi masih menerimanya. Saya berharap jika Skim Wajib Siar Lagu di radio ini berjaya dilaksanakan, ia dapat menaikkan semangat golongan yang ingin berkarya.

"Bila ada skim itu, jika sesebuah lagu itu tidak disiarkan pun kami faham sebab lagu itu memang tidak layak," katanya.

Bagi penyanyi berusia 46 tahun ini, semua itu tidak pernah memadamkan semangatnya untuk terus berkarya.

Katanya, Utopia kini mempunyai empat anggota baru iaitu Hasnul sebagai pemain gitar, Ayee (pemain bass), Hafiz (pemain drum) dan Lan (pemain keyboard).

"Imej Utopia sekarang lebih seragam daripada yang dahulu kerana kami menampilkan imej rock.

"Dahulu anggota Utopia tampil dengan imej yang berbeza," katanya yang mengaku muncul semula dalam industri ini kerana peminat.

Jelasnya, kerana peminat juga dia membuat keputusan untuk menubuhkan kembali kumpulan Utopia walaupun ahli asalnya sudah tiada.

"Ramai yang bertanya kepada saya mengapa Utopia tidak mengeluarkan album ataupun mengadakan persembahan.

"Malah, ramai yang ingin mendapatkan album-album Utopia tetapi tiada di pasaran," katanya yang kini berkerjasama dengan Dalila untuk menyiapkan album terbaru mereka.

Dalila atau nama penuhnya Dalila Mohd. Roslan merupakan seorang pelajar tahun dua Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan telah menerbitkan secara sendiri dua album sebelum ini untuk menonjolkan diri dalam industri muzik sebagai komposer.

Album pertamanya berjudul Mengejar Mimpi memuatkan 10 lagu, album kedua pula berjudul Pilihan dan album ketiga Mimpi akan dipasarkan tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: