Tuesday, May 18, 2010

Kecoh Betul...Memang Kecoh

Satu lagi filem Melayu bakal muncul untuk tatapan anda. Filem garapan pengarah, S. Baldev Singh ini bersifat ringan dan hanya sekadar tontonan. Tiada banyak yang dapat diulaskan kerana Kecoh Betul hampir mempunyai persamaan dengan filem Melayu lain yang banyak memaparkan aksi rempit dan masalah sosial yang berlaku.

Mengakui tidak dapat lari daripada hakikat ianya budaya yang dekat dengan hati penonton, namun tiada mesej jelas yang ingin disampaikan. Kekecohan demi kekecohan timbul dalam filem ini dan berlarutan sehingga ke klimaks Kecoh Betul dan bagi Mangga Online (MO), filem ini begitu kena dengan tajuknya.

Bagi Baldev, filem ini tercetus daripada situasi yang berlaku di pejabatnya dan watak gagap yang dibawa Bell adalah pantulan imej salah seorang pekerja di pejabatnya. Tidak bermaksud menghina, namun Baldev menjelaskan tujuan utama hanyalah ingin menyampaikan isu berat yang berlaku dalam bentuk komedi.

Filem bermodalkan RM1.8 juta ini mengisahkan tiga sahabat karib, Aiman (Nabil), Belon (Shah R) dan Joe (Bell Ngasri) yang terjebak dalam kancah Ah Long apabila menjadi mangsa geng rempit yang menyimpan dendam selepas aktiviti lumba haram. Penipuan Ah Long menyebabkan mereka ditimpa masalah selepas gagal membayar hutang yang dipinjam.

Filem ini juga tidak lari dari kancah percintaan apabila Aiman terpikat dengan Dayana (Diana Danielle), gadis yang pernah ditolong akibat kes ragut. Manakala Belon berminat kepada wanita yang lebih berusia dan Joe pua berusaha memikat Yatt (Yatt), gadis tomboi.

Kecoh Betul turut menampilkan Saiful Apek, Datuk Aziz Satar, Vanessa Chong dan Sheila Mambo. Saksikannya di seluruh pawagam bermula 3 Jun 2010.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: