Saturday, May 1, 2010

Hafiz, Prema, Shruti buru kemenangan




ANUGERAH Industri Muzik ke-17 (AIM17) benar-benar memberi kesan yang besar buat tiga penyanyi baru Hafiz, Prema Yin dan Shruthi.

Semuanya kerana dalam usia kerjaya dan diri mereka yang masih muda, mereka telah tercalon dalam anugerah berprestij industri muzik tempatan.

Masing-masing tidak dapat menyembunyikan perasaan teruja kerana pertama kali terlibat dalam anugerah itu, malahan mereka menyifatkan AIM17 sebagai platform bagi membuktikan kualiti muzik yang diusung.

Kebimbangan Hafiz

Jika dibandingkan antara mereka bertiga, Hafiz merupakan penyanyi muda yang paling banyak mendapat liputan media sementelah bakatnya dikesan dalam program realiti popular Akademi Fantasia musim ketujuh.

Namun, itu tidak menjadikan juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) itu begitu yakin dengan pencalonan pertama kalinya dalam AIM. Katanya dirinya masih terlalu mentah jika hendak dibandingkan dengan nama besar yang lain.

"Saya sangat gembira bila tercalon dalam AIM kerana ia satu platform yang bagus untuk penyanyi baru seperti saya. Meskipun begitu, saya tidak kata saya akan menang dan tidak kata yang saya tidak mahu menang.

"Semuanya terpulang kepada pihak yang mengadili, kalau menang saya bersyukur sangat. Apa pun saya melihat AIM satu majlis anugerah muzik paling tinggi dalam industri hiburan tempatan dan dapat melibatkan diri merupakan satu penghormatan," ujarnya yang kini popular dengan single terbaru Noktah Cinta.

Bercakap tentang tugasnya sebagai penyampai anugerah bersama Prema Yin pada majlis tersebut, Hafiz secara terang-terangan tidak dapat menyembunyikan perasaan gugupnya.

Jelasnya, walaupun biasa menyanyi di atas pentas dan disaksikan ribuan penonton tetapi tugas sebagai penyampai anugerah bukan satu tugas yang mudah buatnya.




"Nampak senang tetapi kerana majlis itu disiarkan secara langsung saya bimbang jika tersasul atau terjadi perkara-perkara yang tidak diingini di atas pentas," katanya dalam tawa.

Prema minat lagu Melayu

Bagi gadis kacukan India dan Cina, Prema Yin atau nama sebenarnya Prema Yin Ranee, kesabarannya selama ini untuk muncul bersama album Eyo Eyo membuahkan hasil apabila tercalon dalam empat kategori di AIM17, satu perkara yang tidak pernah dijangkakan.

"Saya terkejut apabila diberitahu nama dan album saya tercalon dalam AIM. Kalah menang itu saya tidak kisah kerana apa yang paling penting karya saya diiktiraf.

"Mungkin selepas ini orang akan lebih kenal siapa Prema Yin dan lagu-lagu dendangan saya," katanya yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik.

Tambahnya, perjalanan kariernya sebagai penyanyi juga bukan mudah. Mula minat menyanyi pada usia tiga tahun dan pernah bekerja sebagai penyanyi di pub, hanya pada tahun lalu namanya mula menitir di bibir peminat muzik.

"Sebelum ini saya belajar dalam bidang perakaunan tetapi saya memilih bidang nyanyian kerana itu minat dan cinta saya terhadap muzik.

"Walaupun orang kata saya agak lambat muncul dalam industri tetapi sebenarnya saya telah berusaha mengasah bakat sejak usia 17 tahun dengan masuk pelbagai pertandingan nyanyian.

"Mungkin belum rezeki saya, tambahan ketika itu saya sibuk dengan komitmen sebagai pelajar. Jadi, apabila sekarang saya mempunyai peluang yang terbuka luas, saya tidak akan menoleh ke belakang lagi," terang adik kepada pemain hoki Keevan dan Logan Raj itu lagi.

Mencintai genre pop rock, Prema yang kini berusia 24 tahun mempunyai rencana yang cukup besar untuk kerjayanya. Menyedari kelahiran lagu Eyo Eyo yang merupakan satu-satunya lagu Melayu dalam album sulungnya, pada masa depan Prema ingin menghasilkan lebih banyak lagu dalam bahasa Melayu.

"Saya sedar saya dikenali dengan lagu Melayu dan sebenarnya saya amat berminat untuk menyanyi serta mencipta lagu Melayu.

"Bagaimanapun rancangan itu belum terlaksana. Mungkin selepas ini untuk album seterusnya saya akan bekerja dengan band saya iaitu Monday Nine dan menghasilkan album dalam bahasa Melayu," ujarnya.


DARI kiri: Shruthi, Hafiz dan Prema berharap AIM 17 membawa tuah buat mereka.


Impian Shruthi terlaksana

Jika tahun lalu gadis berusia 15 tahun, Shruthi menghadiri AIM hanya sebagai penonton. Namunkali ini, gadis yang cukup terkenal dengan lagu klasik India itu mampu tersenyum apabila dia turut terlibat dalam AIM17.

"Saya masih ingat tahun lalu saya hanya duduk di kerusi penonton sahaja. Saya bercakap pada ibu, tengoklah suatu hari nanti saya pula akan berdiri di atas pentas AIM.

"Namun, saya tidak sangka impian yang saya idamkan sampai dengan cepat apabila album komersial pertama saya dicalonkan dalam kategori Album India Terbaik," katanya.

Menjadi antara penyanyi baru termuda dalam AIM17, Shruthi dikira amat bertuah kerana bakal melalui pengalaman yang cukup bermakna pada usia yang begitu muda.

"Kalau nak tahu dalam industri seni suara India tidak banyak penyanyi remaja perempuan seperti saya. Kebanyakan mereka lelaki dan membawakan lagu-lagu hip hop.

"Saya kira bertuah kerana tidak ramai penyanyi yang seusia dengan saya menyebabkan laluan saya sedikit mudah berbanding yang lain. Tetapi untuk AIM saya hanya mampu berharap, kalau menang ia satu kemenangan yang besar buat saya," tutur pelajar Sekolah Antarabangsa MAZ itu lagi.


PREMA dan Hafiz pertama kali berganding sebagai penyampai anugerah.


Mahir bertutur dalam bahasa Inggeris, Tamil dan Perancis berbanding bahasa Melayu, tetapi bukannya satu halangan buatnya untuk melahirkan lagu dalam bahasa Melayu kelak.

"Sekarang saya tengah belajar vokal bersama cikgu Siti Hajar. Dia bukan sahaja mengajar vokal tetapi turut memperbaiki bahasa Melayu saya yang lemah.

"Album saya dalam bahasa Tamil diselitkan dua buah lagu Inggeris sebagai percubaan. Nampaknya ramai yang menyukai lagu saya dalam bahasa Inggeris. Mana tahu selepas ini saya akan menghasilkan lagu bahasa Melayu dan bersaing dengan penyanyi yang lain," bicaranya yang turut menjadi penyampai anugerah pada majlis AIM17.

Jangan lupa saksikan mereka bertiga di AIM17 yang berlangsung pada esok 2 Mei di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra dan disiarkan secara langsung di ntv7.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: