KUALA LUMPUR - Sebahagian besar daripada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan telah gagal memanfaatkan penggunaan Internet sebagai medium pengiklanan yang berkesan kerana memiliki tanggapan yang tidak tepat mengenainya.
Ini termasuk tidak menggunakan platform pengiklanan menerusi enjin pencarian gergasi seperti Google Inc. (Google) yang dikhuatiri melibatkan kos perbelanjaan yang besar dan tidak sesuai untuk premis perniagaan kecil-kecilan.
Ketua Komunikasi Korporat dan Hubungan Awam Google Asia Tenggara, Dickson Seow berkata, segala kebimbangan itu dapat diatasi melalui pengiklanan menerusi program AdWords Google yang tidak membebankan malah bajet untuk itu boleh ditetapkan oleh usahawan itu sendiri.
"Mereka (pengusaha IKS) boleh menetapkan perbelanjaan iklan di antara RM5 sehingga RM30 sehari dan pembayaran hanya dikenakan bagi seorang pelayar Internet yang klik pada iklan mereka.
"Selain itu, IKS juga boleh menentukan sama ada iklan mereka itu disiarkan pada waktu tertentu atau pada hari pilihan mereka sendiri," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: