Drama bersiri Nur Kasih telah meninggalkan impak besar terhadap penontonnya. Tidak hairanlah jualan DVD untuk siri itu sudah melebihi 1,000 keping pada awal keluarannya.
Kerana pencapaian itu, penerbit Filmscape sanggup mengambil risiko untuk menerbitkan naskhah karya Mira Mustaffa itu ke layar perak biarpun tahu sebelum ini penonton dihidangkan dengan cara ‘percuma’ sahaja.
Penerbitnya Mohd Frank Lewis yang melahirkan rasa bangga apabila mendapat lampu hijau menjadi penerbit filem itu tidak takut untuk berdepan dengan pelbagai kemungkinan kerana yakin dengan kemampuan Nur Kasih memandangkan siri itu telah berjaya mencatat rating tertinggi iaitu 4.3 juta penonton setiap kali ditayangkan menerusi slot di TV3.
Dengan memperuntukkan bajet sebanyak RM2.5 juta, filem pertama terbitan Filmscape ini akan memulakan penggambarannya yang pertama di negara Jordan pada penghujung Mei ini.
Ia telah dinyatakan di dalam sebuah majlis penyampaian hadiah peraduan DVD Nur Kasih bertempat di Restoran Rebung, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Filmscape yang turut bekerjasama dengan PrimeWorks untuk projek filem Nur Kasih ini akan mengekalkan barisan pelakon asal seperti Tiz Zaqiyah, Remy Ishak dan Fizz Fairuz. Namun bagi watak Siti Sarah yang dipegang oleh Ummi Nazeera bakal digantikan dengan pelakon lain memandangkan pelakon itu sedang melanjutkan pengajiannya di Australia.
Menyentuh mengenai sinopsis filem Nur Kasih, penerbitnya tahu akan kehebatan karya Mira Mustaffa serta diarahkan oleh suaminya Khabir Batiar. Filem itu dijangka akan menemui penonton sekitar akhir tahun ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: