KUALA LUMPUR: Tidak ubah seperti pengumpul koleksi barang antik apabila empat ahli geng pecah rumah orang kenamaan atau VIP didapati mengumpul pelbagai barang dicuri termasuk pelbagai peti besi yang dilarikan dari kediaman mangsa sebagai cenderamata kenang-kenangan.
RAMPAS...anggota polis Brickfields menunjukkan pelbagai barangan yang dilarikan geng pecah rumah VIP.
Dalam kes terbaru jam 12 tengah hari, kumpulan penjenayah yang mencari mangsa dengan menaiki kereta dikesan menjadikan rumah seorang kenamaan bergelar Datuk di Bukit Bandaraya di sini sebagai sasaran pada siang hari.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata seorang daripada ahli kumpulan terbabit memanjat masuk ke rumah Datuk itu sebelum mengumpil pintu rumah berkenaan.
“Sebaik masuk ke dalam rumah itu, suspek bersama rakan jenayah lain menangkap dan mengikat pembantu rumah dengan wayar sebelum menggeledah kediaman berkenaan.
“Difahamkan, penjenayah kemudian mengusung peti besi di rumah mangsa sebelum melarikan diri bersama pelbagai barang berharga dan wang lebih RM300,000. Pembantu rumah terbabit bagaimanapun tidak dicederakan dan melepaskan diri daripada ikatan,” katanya.
Menurutnya, mangsa segera menghubungi majikannya bagi memaklumkan kejadian itu sebelum kes terbabit dilaporkan kepada polis.
“Susulan laporan itu, polis menjalankan operasi untuk mengesan suspek sebelum polis Brickfields memberkas kumpulan penjenayah itu Rabu lalu, berhampiran Prima Pelangi, Damansara di sini.
“Susulan itu, polis menyerbu pula sebuah unit pangsapuri dan menemui pelbagai barang berharga yang dilarikan penjenayah dari beberapa rumah kenamaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini, semalam.Menurutnya, hasil pemeriksaan polis menemui pelbagai barang curi antaranya koleksi jam tangan, telefon bimbit, kamera, gitar, komputer riba dan televisyen LCD selain mata wang pelbagai negara.
“Siasatan mendapati kumpulan terbabit mengaku memecah masuk 20 rumah sekitar ibu kota dan Petaling Jaya. Polis percaya suspek turut menjual barang berharga dicuri ke kedai pajak gadai,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: