Tuesday, May 25, 2010

Geng samun kedai emas dicekup


MOHD. RODWAN (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian wang yang dirampas daripada enam lelaki pada sidang akhbar di Melaka semalam.


MELAKA - Polis menumpaskan kumpulan samun yang menyasarkan kedai emas di sekitar negeri ini dan Kuala Lumpur sebagai mangsa apabila menahan empat lelaki dan dua bekas anggota polis baru-baru ini.

Kesemua mereka yang berusia di antara 22 hingga 46 tahun itu ditangkap mulai 10 hingga 18 Mei lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof berkata, tangkapan itu dilakukan selepas pihaknya menjalankan siasatan ke atas satu kejadian samun kedai emas di Ayer Molek di sini pada 24 Februari lalu.

"Hasil siasatan, polis berjaya menahan salah seorang ahli kumpulan ini pada 10 Mei lalu di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

"Polis seterusnya berjaya menahan lima lagi ahli kumpulan ini di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah semalam.

Rodwan berkata, polis turut menahan seorang lelaki berusia 41 tahun, berasal dari Serdang yang dipercayai membeli hasil rompakan daripada kumpulan ini.

Katanya, lelaki yang mempunyai kedai emas itu dipercayai bertindak meleburkan semula barang kemas yang dibeli dan membentuknya semula sebelum dijual kepada pelanggan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: