Monday, May 10, 2010

FAFF 2010 tayang 8 filem Perancis


Daniel Blaize (kiri) Bruno Plasse dan Marianne Urmes selepas pelancaran Festival Kesenian dan Filem Perancis (FAFF 2010) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


FESTIVAL Kesenian dan Filem Perancis 2010 (FAFF 2010) merupakan festival yang diadakan di Kuala Lumpur sejak 2001 bagi mempromosikan filem-filem Perancis di negara ini.

FAFF 2010 yang akan berlangsung dari 13 Mei hingga 2 Jun ini dilihat lebih menyerlah kerana ia memperlihatkan kepelbagaian seni Perancis dan tidak terhad kepada filem semata-mata.

Menurut Kaunselor Kebudayaan Kedutaan Perancis di Malaysia, Daniel Blaize, selain tayangan filem, terdapat pelbagai aktiviti seni akan dianjurkan sempena FAFF 2010.

"Melalui FAFF 2010 kami akan mengadakan aktiviti seni pelbagai genre seperti persembahan tarian, muzik, pameran dan tayangan dokumentari sepanjang festival kali ini.

"Festival kali ini lebih memperlihatkan kepelbagaian budaya Perancis. Kami bukan sahaja mahu memperkenalkan filem-filem Perancis tetapi juga seni dan budaya negara kami.

"Diharap cara ini dapat menambahkan lagi tarikan festival pada tahun ini," katanya pada majlis pelancaran FAFF 2010 di pawagam GSC, Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelasnya, FAFF 2010 merupakan salah satu kempen mempromosikan seni dan budaya Perancis di negara-negara Asia di mana ia dimulakan di Hong Kong 10 tahun yang lalu.

FAFF 2010 yang dianjurkan di negara ini oleh Alliance Francaise Kuala Lumpur dan Kedutaan Perancis di Malaysia mendapat perhatian ramai termasuklah tayangan filem-filem dari negara itu.

"Sebanyak lapan filem akan ditayangkan di pawagam GSC (Golden Screen Cinemas), Mid Valley, Pavilion, Kuala Lumpur dan 1 Utama, Petaling Jaya dari 13 hingga 23 Mei ini.

"Tayangannya juga akan diadakan di GSC Gurney Plaza, Pulau Pinang dari 26 Mei hingga 2 Jun ini. Terdapat empat genre filem iaitu biografi, komedi, drama dan aksi pada tayangan tersebut.

"Kepelbagaian genre ini juga diharap akan dapat memberi pilihan kepada para penonton. Cara ini juga bagi mempromosikan bahasa Perancis yang terkenal sebagai bahasa yang cukup romatis," ujarnya.

Filem-filem yang akan ditayangkan sempena FAFF 2010 berjudul Largo Winch, 13m2, Towards Zero dalam genre aksi, Changing Sides dan Could This Be Love dalam genre komedi.

Sementara itu, filem-filem lain yang bakal ditayangkan ialah Coco Before Chanel dalam genre biografi, Afterwards dan Summer Hours masing-masing bergenrekan drama.

Persembahan kumpulan Trio Con Fuoco dengan muzik chamber yang menampilkan Sullimann Altmayer (biola), Gauthier Herrmann (cello) dan Romain Descharmes (piano) juga akan diadakan.

Kumpulan trio itu akan mengadakan persembahan mereka di Dewan Filharmonik Orkestra, Kuala Lumpur pada 20 Mei ini pukul 8.30 malam dengan tiket berharga RM10.

Selain itu, ujar Daniel, persembahan lagu-lagu bertemakan cinta Perancis yang akan didendangkan oleh penyanyi terkenal negara itu, Mouron juga mampu menarik perhatian ramai.

"Mauron juga dikenali sebagai Diva Chanson yang pernah mengadakan persembahan di L'Olympia iaitu dewan berprestij di Paris ketika usianya 17 tahun dan amat terkenal dengan lagu-lagu cinta.

"Para penonton akan menikmati alunan irama yang cukup mempersonakan, malah lirik lagu dalam bahasa Perancis amat romantis dan terkenal sebagai bahasa cinta," katanya.

Persembahan Mouron yang diberi nama Hymnes a' l'Amour itu akan diadakan di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur pada 23 Mei ini pukul 8.30 malam di mana masuk adalah percuma.

Sebarang maklumat lanjut berhubung FAFF 2010 sila hubungi Penyelaras Kebudayaan, Alliance Francaise Kuala Lumpur iaitu Marianne Urmes atau Carine de Bortoli di talian 03-26947880.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: