Monday, May 10, 2010

Emma si tukang sihir budiman

Dia adalah aktres mendapat bayaran tertinggi di Hollywood dan membintangi satu daripada filem francais paling berjaya dalam sejarah perfileman. Namun, Emma Watson tidak berlagak besar dan baru-baru ini mendaftar diri memasuki kelas belajar berlakon di kolejnya.

pix_middle
Dan dalam temubual spontan baru-baru ini, Emma, 20, tidak teragak-agak mengaku lakonannya tidaklah sehebat mana.

"Saya paling teruk di dalam kelas," katanya.

Emma yang membawa watak Hermione Granger dalam filem Harry Potter memilih untuk menyertai kelas lakonan pada tahun pertamanya di Universiti Brown di Rhode Island.
Membawa imej dan nama besar dalam industri perfileman, Emma juga mengaku dia gugup ketika waktu awal melangkah kaki ke universiti itu.

Baginya, watak Hermione dalam enam filem Harry Potter terlalu berat untuk dibawa sebagai pelajar.


Emmah baru berusia sembilan tahun ketika dia menewaskan ratusan pelakon lain yang mencuba nasib dalam uji bakat mencari watak Hermione bersama Daniel Radcliffe sebagai si tukan sihir cilik bernama Harry Potter.

Memiliki kekayaan dianggarkan bernilai RM50.8 juta, Emma dinamakan majalah Vanity Fair sebagai pelakon wanita menerima bayaran paling tinggi di Hollywood dengan nilai RM96.8 juta.Daripada dua filem terakhir Harry Potter (The Deathly Hallows I dan II) saja, Emma menerima bayaran jauh mengatasi apa diterima bintang lebih terkenal seperti Julia Roberts atau Jennifer Aniston.


Bahagian pertama filem itu akan ditayangkan pada November tahun ini, manakala bahagian kedua pada tahun depan.

Emma mengejutkan pelbagai pihak dalam industri filem apabila menolak tawaran berlakon semata-mata mahu melanjutkan pengajian dalam bidang seni. Keputusan itu dibuat dalam keadaan dia mencatat kejayaan cemerlang (semua gred A) di perinkat A-level.

Dia menyambut hari lahir ke-20 pada 15 April lalu dan mengambil 'cuti' seketika bagi melanjutkan pengajian pada 15 April tahun lalu. Selain bidang seni lakon, Emma turut mengambil subjek sejarah wanita Eropah dan Ovid's Metamorphoses.

Kata Emma, apabila tiba di Amerika Syarikat untuk menyertai Universiti Brown, dia teragak-agak juga.

Pada hari-hari terawal di Rhone Island itu, katanya, dia agak murung dan sukar menyesuaikan diri.

"Ia agak teruk. Sering juga saya tertanya-tanya sendiri: Mengapa saya perlu melakukan semua ini? Adakah saya gila?" katanya.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak bertahan lama dan dia menyesuaikan diri perlahan-lahan dengan persekitaran pusat pengajian tinggi berkenaan.

"Keadaan menjadi lebih mudah selepas saya bertemu Rafael Cebrian," katanya.
Cebrian adalah bintang rock dari Sepanyol yang kini menjadi pacar Emma.
Kata Emma, kini hidup sebagai mahasiswa adalah detik paling indah dalam hidupnya.

"Memanglah mula-mula dulu saya ada banyak kebimbangan. Mengenai masa depan dalam lakonan, misalnya, atau peluang menjadi duta fesyen jenama Burberry serta label Chanel (dengan nilai kontra RM14.5 juta)," katanya.

Dia juga bimbang tidak dapat menyesuaikan diri sebagai penuntut di universiti sekali gus pelakon.

"Bagi sesetengah pihak, saya mungkin tidak layak hidup dalam dua keadaan kerana saya boleh memiliki hampir semuanya.

"Orang lain mungkin berfikir saya tak berhak hidup normal," katanya.

Di Universiti Brown, katanya, dia juga semakin selesa apabila ditempatkan dengan teman sebilik yang langsung tidak meminati filem Harry Potter.

Mengenai filem itu sendiri, Emma berkata, dia berasa seolah-olah dilahirkan untuk menjadi 'pembantu tukang sihir'.

"Jika saya mahu jujur, watak Hermione itu adalah diri saya. Saya sentiasa mahukan sesuatu dan berkelakuan baik, tetapi pada masa saya suka juga menguasai keadaan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: