Friday, May 14, 2010

Doa Ibu Bapa Buat Hafiz Iringi Harapan Julang Piala Thomas

Pemain perseorangan utama negara Mohd Hafiz Hashim mengangkat tangan selepas memenangi perlawanan suku akhir bertemu pemain Denmark Joachim Persson pada Kejohanan Piala Thomas di Stadium Putra Bukit Jalil, 12 Mei lalu. Hafiz menang dengan 12-21 10-21.

KOTA BAHARU: "Tiada kata yang dapat diucapkan, melainkan doa kami mengiringi harapan agar Malaysia dapat menjulang Piala Thomas musim ini," kata bapa pemain perseorangan harapan negara Muhammad Hafiz Hashim.

Hashim Ikhsan, 74, berkata beliau berharap Muhammad Hafiz bermain dengan tenang dan mengingati pesan jurulatih bagi menggalas tanggungjawab lebih besar apabila bertemu China pada perlawanan separuh akhir nanti.

"Kami sebagai ibu bapanya sebagaimana rakyat Malaysia yang lain, berdoa mengharapkan kemenangan memihak kepada skuad negara pada perlawanan dengan China nanti," katanya kepada Bernama di rumahnya di Kampung Sireh, di sini, hari ini.

Hafiz Hashim bersyukur selepas berjaya menumpaskan pemain Denmark Joachim Persson pada perlawanan suku akhir kejohanan Piala Thomas. Beliau menang 21-12, 21-10 sekali gus Malaysia menang 3-2.

Menurutnya, kemenangan Muhammad Hafiz malam tadi memang sudah dijangka oleh keluarganya berdasarkan kepada corak permainan yang nampak lebih tenang sewaktu bertemu Joachim Persson.

Hashim berkata beliau melakukan solat istikharah dan berdoa, selepas Muhammad Hafiz dan skuad negara tewas di tangan Jepun 2-3 malam kelmarin.

Bekas pesara guru itu berkata beliau sendiri sebenarnya tidak dapat melihat permainan anaknya itu di kaca televisyen malam tadi disebabkan mempunyai masalah jantung dan darah tinggi.

"Tetapi ibunya, Habsah Hassan, 63, selalu menghubungi Hafiz dan sentiasa memberi semangat dan rangsangan melalui telefon sahaja," katanya.

Walaupun tidak mengikuti perlawanan anaknya secara langsung, tetapi segala perkembangan dan corak permainan anaknya itu sentiasa dipantau, katanya.

Beliau juga mengakui prestasi anaknya itu kurang konsisten, terutama selepas menjulang Piala All England dan Sukan Olimpik 2002.

"Tetapi kekuatannya masih dipelihara oleh Allah menyebabkan dia disayangi oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) lagi untuk terus menyarung jersi kebangsaan," katanya.

Hafiz menerima ucapan tahniah daripada rakan-rakan seperjuangan.

Beliau berharap Muhammad Hafiz meneruskan corak permainan seperti malam tadi jika mahu berjaya menentang China yang ternyata kental corak permainan pemain negara itu.

Sementara itu Habsah mendoakan yang terbaik buat anaknya dan yakin pasukan negara akan mampu muncul juara kali ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: