KOTA BHARU - Seorang pengawal keselamatan Istana Negeri, Kubang Kerian di sini cedera parah selepas ditembak di bahagian dada dalam kejadian yang berlaku di Kampung Sungai Nyior, Palekbang, Tumpat dekat sini tengah malam semalam.
Kejadian berlaku ketika mangsa, Ramli Mohd., 50, dalam perjalanan pulang ke rumahnya dengan menunggang motosikal selepas menamatkan tugas di istana tersebut pada malam berkenaan.
Mangsa dipercayai ditembak beberapa das oleh seorang daripada empat lelaki yang menaiki dua buah motosikal, kira-kira tiga kilometer dari rumahnya di Kampung Sungai Pinang, Tumpat.
Bagaimanapun, Ramli yang merupakan bekas anggota tentera terkena satu das tembakan di bahagian dada dalam kejadian yang berlaku pada pukul 12.20 tengah malam itu.
Ekoran kejadian tersebut, mangsa dikejarkan ke Hospital Tumpat sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad mengesahkan mangsa ditembak ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas dia tamat bertugas di Istana Negeri pada pukul 12 tengah malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: