Tuesday, May 25, 2010

Dengarnya: Kagum dengan usaha KRU Studios

BARU-baru ini teman Cik Normah berkesempatan menghadiri majlis sidang media kerjasama antara KRU Studios dengan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO). Teman Cik Normah itu berkesempatan menonton sedikit trailer filem Hikayat Merong Mahawangsa iaitu filem kelapan terbitan syarikat trio adik-beradik itu.

Bukan main bersungguh teman Cik Normah memuji kehebatan filem itu. Katanya, filem Hikayat Merong Mahawangsa memang ‘gempak’ habis. Dia bangga dengan usaha tiga beradik itu kerana berjaya menghasilkan sebuah filem bertaraf antarabangsa.Paling dia kagum melihat salji yang turun di dalam istana seorang Maharaja Cina. Katanya sebiji macam di negara Cina walhal, adegan itu dirakamkan di Seputeh saja. Matanya juga terbeliak melihat negara Rome yang turut dipaparkan dalam filem itu juga nampak sebiji macam di Rome. Kata kawan Cik Normah lagi, rakan-rakan yang sempat menonton trailer selama empat minit itu semuanya menelan air liur kerana kagum. Masing-masing dah tak sabar menantikan filem itu keluar panggung. Tapi kata Yusry Abdul Halim, kenalah bersabar sikit kerana filem itu hanya akan menemui penonton pada awal tahun depan. Sekarang ini mereka sedang sibuk dengan proses memasukkan teknik janaan komputer (CGI).

Cik Normah berharap filem itu nanti tak menghampakan Cik Normah dan rakan-rakan. Bukan apa, kawan-kawan Cik Normah kata kualitinya sehebat filem Troy dan filem epik lain. Harapnya jalan cerita filem itu nanti sehebat trailernya selama empat minit.

Norman pula sempat menyampaikan perkhabaran gembira. Katanya, filem itu sudah pun dibeli oleh 34 negara. Harap-harapnya Merong Mahawangsa akan meletupkan nama kita di peringkat dunia. Amin.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: