|
|
Satu daripada pengalaman paling menyeronokkan dalam hidup kita ialah apabila menyambut kehadiran bayi ke dunia ini.
Sewaktu lahir bayi bergantung sepenuhnya kepada ibu untuk hidup - mereka belum dapat bangun ataupun berjalan kerana sistem saraf belum matang. Bayi juga tidak boleh bercakap kerana otak mereka masih berkembang.
Begitu juga dengan sistem penghadamannya. Sebab itu dalam tempoh ini si manja hanya dapat menghadamkan susu ibu.
Pertumbuhan sistem penghadaman
Sistem penghadaman berkembang seiring dengan pembesaran si manja. Pada peringkat awal si manja belum bersedia untuk menerima makanan lain kecuali susu ibu.
Pada usia kira-kira enam bulan, sistem penghadaman bayi mula matang untuk menghadamkan makanan yang lebih kompleks dan bersifat pepejal, seperti kanji, protein dan lemak dalam diet bukan susu.
Pada peringkat ini, si manja sudah bersedia untuk diperkenalkan kepada makanan pejal (makanan pelengkap). Namun ibu disarankan supaya terus menyusukan bayi sementara membiasakan mereka secara perlahan-lahan dengan makanan pepejal.
Tahap paling kritikal membabitkan sistem penghadaman bayi ialah pada peringkat dua tahun pertama.
Mikroflora usus yang terbentuk sepanjang tempoh itu banyak mempengaruhi keimunan jangka panjang anak.
Jika pada peringkat itu sistem penghadamannya tidak sihat dan si manja mengalami kekurangan nutrien, pertumbuhan dan perkembangannya akan tergugat.
Dalam usus bayi anda
Waktu dilahirkan, sistem penghadaman bayi adalah dalam keadaan bersih daripada kuman.
Sebaik sahaja mula menyusukan, bakteria mula diperkenalkan ke dalam sistem penghadaman bayi.
Susu ibu mengandungi beberapa jenis bakteria berfaedah seperti bifidobakteria, yang penting untuk kesihatan usus bayi.
Bilangan bakteria tanpa mengira yang baik atau jahat bertambah dengan cepat dalam beberapa hari pertama bayi dilahirkan. Ia untuk membentuk imbangan mikroflora yang sihat dalam usus.
Apabila bayi membesar dengan sihat, mikroflora ususnya yang terbentuk sepanjang dua tahun pertama itu menjadi stabil dan biasanya keseimbangan dikekalkan sehingga si manja menjadi dewasa.
Mikroflora usus bayi melindunginya daripada jangkitan dan membantu mematangkan sistem ketahanan si manja, supaya badannya boleh mengenalpasti makanan-makanan tertentu yang tidak berbahaya dan tidak mencetuskan tindak balas imun.
Ekosistem mikroflora usus yang sihat penting kepada kesihatan si manja anda secara keseluruhan kerana ia memberi keseimbangan bakteria dalam usus.
Tanpa keseimbangan itu, besar kemungkinan bayi akan mengalami kolik atau kembung (gas dan kesakitan pada bahagian perut). Dipercayai si manja lebih berisiko untuk mendapat alahan (seperti ekzema) dan asma apabila dia membesar.
susu botol
Susu ibu boleh membantu bayi mencapai tumbesaran, perkembangan dan kesihatan yang optimum. Hasil kajian mencadangkan bahawa kanak-kanak yang disusui ibu kurang mendapat jangkitan gastrousus, telinga, urinari dan pernafasan.
Susu ibu kaya dengan antibodi dan ia dapat melindungi si manja daripada jangkitan. Selain antibodi, kolostrum dan susu ibu juga menggalakkan perkembangan bakteria baik dalam saluran gastrousus bayi baru lahir.
Mikroflora usus bayi yang diberi susu formula didapati berlainan daripada usus bayi yang menyusu ibu.
Bilangan bakteria bifidobakteria yang membantu dalam pertumbuhan mikroflora usus sihat di kalangan bayi yang mengambil susu formula adalah jauh berkurangan.
Beberapa kajian mencadangkan bahawa risiko atopik ekzema di kalangan bayi yang diberi susu formula adalah lebih tinggi berbanding bayi yang hanya mengambil susu ibu.
Susu ibu juga membantu merangsang pertumbuhan bakteria baik dalam usus, yang mana mengurangkan risiko cirit-birit dan penyakit usus lain.
Dengan kata lain, susu ibu memastikan sistem penghadaman sentiasa dalam keadaan baik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: