Thursday, May 27, 2010

Bowersox jadi pilihan hakim


LEE DeWyze (kiri) bersama pengacara Ryan Seacrest dan Crystal Bowersox pada malam persembahan akhir pertandingan nyanyian paling popular American Idol musim kesembilan di Los Angeles, semalam.


LOS ANGELES 26 Mei - Seorang daripada dua peserta akhir American Idol, Crystal Bowersox bangkit kembali pada persembahannya untuk mengatasi Lee DeWyze yang dilihat gugup semalam, sekali gus berjaya mencuri hati hakim dan lebih berkeyakinan dalam rancangan paling popular di Amerika itu.

Bowersox, 24, seorang ibu tunggal dari Ohio yang tampil dengan gaya rambut dreadlock ketika membuat persembahan menjadi peserta kegemaran hakim sebagai bakal juara American Idol 2010 selepas dia menyanyikan tiga buah lagu walaupun persembahannya dilihat kurang bertenaga beberapa minggu lalu.

Namun, sama ada Bowersox atau DeWyze yang akan menjadi pemenang rancangan realiti bagi musim kesembilan itu, ia akan diumumkan malam ini (6 petang Khamis waktu Malaysia) selepas jutaan pesanan dan undi melalui telefon daripada peminat seluruh negara itu selesai dikira.

"Persembahan ini adalah satu daripada saat terbaik anda, pada masa yang sempurna," komen seorang hakim American Idol, Randy Jackson kepada Bowersox selepas dia selesai membuat persembahan beremosi ketika menyanyikan lagu kontemporari rakyat, Up to the Mountain.

"Anda berjaya membawakan lagu itu dan anda benar-benar memukau," kata seorang lagi hakim Simon Cowell yang gemar memberikan komen 'pedas' kepada peserta selepas Bowersox membawakan lagu rock klasik versi 1990-an, Black Velvet.

Sementara itu, DeWyze, 24, yang dilihat gemar merahsiakan hal peribadinya pada pertandingan nyanyian itu, diramal akan menjadi pemenang ketika dia membuat persembahan pada minggu sebelumnya di hadapan 7,000 orang penonton.

Bagaimanapun, penyanyi blues dan pemain gitar yang bekerja di sebuah kedai cat Chicago selama setahun itu, dilihat kurang keyakinan diri pada pertandingan akhir berkenaan walaupun pada minggu lalu, dia mampu mengatasi persembahan Bowersox.

"Saya menjangkakan persembahan yang lebih mengghairahkan dan mengujakan. Ia umpama saya mendapat ciuman di pipi apabila saya mahukan ciuman di bibir," ujar Cowell selepas DeWyze menyanyikan lagu pertamanya, The Boxer pada pertandingan akhir berkenaan.

Persembahan DeWyze seterusnya pada malam itu tidak berjaya memukau hakim apabila seorang daripadanya, Kara DioGuardi merasakan peserta berkenaan 'tidak menonjol' ketika menyanyikan lagu kumpulan U2, Beautiful Day.

Bowersox dan DeWyze adalah dua peserta akhir pertandingan nyanyian musim terbaru Fox TV itu daripada 100,000 orang yang menyertai uji bakatnya di seluruh Amerika pada musim panas lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: