LONDON - Seorang rakyat Sweden, Thomas Salme (gambar) yang pada Mac lalu didenda AS$2,100 (RM6,800) dan dilarang terbang selama 12 bulan oleh seorang hakim sebuah mahkamah Belanda kerana menyamar menjadi juruterbang palsu selama 13 tahun telah mendedahkan betapa mudahnya untuk memperdayakan pihak berkuasa dengan menyamar sebagai juruterbang palsu, lapor sebuah akhbar semalam.
Salme yang berusia 41 tahun berkata, dia pada mulanya bertugas sebagai jurutera penyenggaraan di sebuah syarikat penerbangan.
Menurutnya, seorang rakannya kemudian membenarkan dia menggunakan simulator penerbangan semasa ia tidak digunakan.
Salme berkata, dia kemudian berlatih selama 12 hingga 20 kali dalam tempoh tidak sampai dua tahun sebelum menjalani ujian penerbangan dengan menggunakan simulator.
Dia diundang menjalani ujian itu oleh pihak pengurusan syarikat penerbangan Air One selepas dia menunjukkan beberapa dokumen palsu.
Salme lulus dalam penerbangan itu dan dalam tempoh tiga tahun, dia mendapat pangkat kapten dan mengendalikan pesawat syarikat penerbangan Air One.
"Saya mendapat idea untuk memohon jawatan sebagai pembantu juruterbang di sebuah syarikat penerbangan dan saya membuat sendiri permit penerbangan Sweden," katanya kepada stesen televisyen Sky News baru-baru ini.
Syarikat-syarikat penerbangan yang berbeza akan menggunakan permit berlainan menyebabkan mudah baginya untuk menyamar menjadi juruterbang palsu.
Namun, Salme telah ditahan pada Mac lepas oleh pihak berkuasa semasa dia duduk dalam kokpit untuk menerbangkan pesawat Boeing 737 milik syarikat penerbangan Corendon dengan 101 penumpang di Lapangan Terbang Schipol, Amsterdam.
Dia tangkap selepas pihak polis mendapat maklumat mengenai penyamarannya itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: