Wednesday, May 19, 2010

Along gantung coli, seluar dalam isteri

YONG menunjukkan gambar pakaian dalam yang digantung oleh along,  semalam.
YONG menunjukkan gambar pakaian dalam yang digantung oleh along, semalam.
Kaedah takutkan mangsa yang gagal bayar pinjaman

KUALA LUMPUR: Along kini bertindak ganas mensasarkan isteri kepada peminjam yang gagal membayar balik pinjaman, dengan memecah masuk rumah dan menggantung coli serta seluar wanita itu sebagai amaran bagi menakutkan mangsa.
Mangsa, Yong Choy Ling, 28, berkata, beliau terkejut melihat keadaan dalam rumah berselerak dengan sos cili dan cecair syampu bertaburan di lantai sebaik tiba di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Raya Permai, Sungai Besi di sini, pada 14 Mei lalu.
“Pada mulanya, saya ingat rumah dimasuki pencuri kerana barangan elektrik seperti televisyen dan kipas angin serta barang kemas saya hilang.

“Ketika duduk seketika untuk menenangkan fikiran, saya berjumpa satu nota yang tertulis nama Sam bersama nombor telefonnya iaitu antara along yang suami saya jumpa untuk membuat pinjaman, dua minggu lalu, ” katanya ketika ditemui di Pejabat Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Michael Chong di Wisma MCA, di sini semalam.

Yong berkata, selepas membaca nota itu beliau turut melihat dua colinya yang diconteng menggunakan pen digantung pada tingkap rumah manakala seluar dalam yang diambil daripada almari pakaian disangkut pada tombol pintu bilik.

Katanya, beliau percaya kejadian itu berpunca daripada tindakan suaminya yang membuat pinjaman dengan Sam sebanyak RM3,000 untuk menjelaskan ansuran kereta.
“Saya tidak tahu motif mereka berbuat demikian, kerana yang berhutang adalah suami saya malah saya tidak pernah berjumpa Sam atau kuncunya.

“Keadaan ini agak menakutkan selain kami perlu menanggung kerugian akibat barangan elektrik yang dicuri itu, ” katanya.

Sehubungan itu, Yong bersama suaminya, Cheong Fook Lin, 29, membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi pada hari kejadian.

Beliau yang bekerja sebagai kerani itu mendakwa along turut melumurkan permukaan luar peti sejuk dengan sos cili dan kicap selain menaburkan cecair itu ke atas lantai rumah bermula dari ruang dapur hingga ke ruang tamu rumahnya.

Sementara itu, Chong berkata, kes along yang bertindak seumpama itu pertama kali dilaporkan dan sehingga kini 98 pelbagai kes sudah diterima dan daripada jumlah itu 21 membabitkan wanita dengan nilai pinjaman RM10 juta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: