Monday, February 1, 2010

Zahida takut kena culik

KUALA LUMPUR: Pelakon filem Anak Mami, Zahida Rafik kini dalam kebimbangan berikutan kemungkinan ada pihak mengambil kesempatan atau melakukan sesuatu yang buruk terhadapnya gara-gara gosip dan cerita mengenai kemewahannya, termasuk memiliki banglo bernilai RM3 juta di Bukit Antarabangsa, dekat sini.

“Saya ada rasa tiga empat kali orang bermotosikal ekori saya...tidak tahu apa tujuannya, mungkin mahu rompak atau culik saya! Begitu juga ada orang cuba langgar belakang kereta saya sampai saya terpaksa lari ke balai polis.

“Semuanya mungkin kerana orang anggap saya kaya kerana banyak cerita dihebahkan mengenai kemewahan saya dan hubungan dengan orang kenamaan (VVIP), sedangkan semua itu tidak benar,” katanya kepada Metro Ahad.

Dia berkata, banyak gosip mengenainya yang disebarkan di lawan web atau media sangat mengaibkan, sedangkan semua itu tidak benar dan lebih kepada fitnah.

Katanya, dia tidak tahu apa tujuan orang cuba menaburkan fitnah  sebegitu terhadapnya dan lebih mensensasikan cerita berbanding kerjayanya sebagai pelakon. “Seperti juga cerita pasal rumah harga RM3 juta itu, memang saya menafikan cerita ini dan lokasi yang digembar-gemburkan juga tidak betul kerana memang saya tidak ada rumah di kawasan itu.

“Kalau benar pun saya ada rumah, saya rasa tidak wajar untuk saya dedahkan harganya kepada umum kerana bagi saya ia hak peribadi. Selain itu, ia boleh mengundang tanggapan atau perkara buruk kepada saya,” katanya.

Beberapa laman web berkaitan dunia hiburan sebelum ini menyiarkan gosip yang mendakwa Zahida kini menetap di rumah agam di Bukit Antarabangsa berharga RM3 juta. Selain itu, dia banyak dikaitkan dengan gosip dibela golongan hartawan hingga menyebabkannya dilimpahi kemewahan.
Zahida berkata, sepatutnya pihak yang berkaitan, terutama wartawan,  mendapatkan penjelasannya terlebih dulu dan bukan terus membuat dakwaan seperti itu.

Katanya, tanpa penjelasan daripadanya menyebabkan laporan yang disiarkan di laman web atau media itu salah, sekali gus menjadi fitnah kepadanya.
“Ada rakan saya menasihatkan supaya mengambil tindakan udang-undang terhadap laporan dan dakwaan berunsur fitnah itu, tetapi bagi saya perkara itu tidak perlu diperbesarkan atau belum lagi ke tahap itu.

“Cuma apa yang saya mahu adalah supaya pihak berkaitan itu supaya tidak ‘busy body’ untuk mengambil tahu hal peribadi saya hingga menjadi fitnah terhadap saya,” katanya yang bakal menjalani penggambaran filem pada Mac depan.
Ditanya mengenai tindakannya tidak menghebohkan perniagaan yang diusahakan sehingga menyebabkan ramai mendakwanya ditaja ‘seseorang’, Zahida mendakwa dia belum bersedia untuk menghebahkan perniagaannya kerana tidak mahu disalah anggap, tetapi jelasnya segala yang dinikmatinya adalah hasil titik peluhnya sendiri tanpa ‘pertolongan’ sesiapa.

“Tidak semestinya seseorang artis itu mampu hidup mewah kerana ditaja seseorang, mungkin ada perniagaan atau perusahaan yang dijalankan dan sebab itu perlu mendapatkan penjelasan terlebih dulu, bukan terus melaporkannya,”katanya.
Pada tahun ini, dia tekad kembali aktif berlakon selepas lama menyepikan diri daripada bidang seni itu kerana lebih fokus kepada perniagaannya.
“Saya rasa inilah masa sesuai untuk berlakon semula kerana ramai juga yang bertanya ke mana saya menghilang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: