UNTUK melihat keunikan sesebuah masyarakat, lihatlah kepada adat perkahwinan yang mempunyai signifikan dan masih menjadi amalan.
Adat ini bukan sekadar suka-suka tetapi mempunyai maksud tersendiri sama ada dari segi penggunaan barangan serta gerak-geri dilakukan.
Menghadiri majlis perkahwinan puteri sulung penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman dan bekas jaguh badminton negara, Mohd Jalani Sidek iaitu Puteri Suraya, 25, dan Muhammad Shadan Hashim, 35, seakan-akan menghadiri majlis perkahwinan puteri dari Jawa. Dari segi pakaian, alunan muzik, acara sepanjang majlis sehinggalah hidangan disajikan, semuanya berkonsepkan Jawa. Di tepi pekarangan rumah, tersergam teratak berukuran segi empat dengan tujuh anak tangga di sekelilingnya. Di puncak, terdapat guri atau bekas berisi air serta dua kerusi yang akan diduduki pasangan pengantin ketika dimandikan. Di tepi anak tangga, susunan bunga segar pelbagai warna dengan payung keemasan berdiri megah di kiri kanan tangga. Sebelum Mandi Sampat bermula, pengantin perempuan diarak dengan iringan alunan muzik gamelan Jawa sambil membawa kelongsang watikah bersadur emas untuk diisi dengan watikah pernikahan. Langkah penuh gemalai diiringi sembilan pembawa dulang ke pelaminan nan indah hiasan ala Jawa. Tujuh dulang tiap satunya berisi manisan, satu dulang berisi rempah ratus dan asam garam manakala satu dulang dipenuhi buah-buahan. Sembilan dulang ini membawa maksud lengkaplah sudah kehidupan penuh berwarna-warni dalam rumah tangga, ada manis, masin dan masamnya. Reka bentuk pelamin tersergam indah dengan hiasan dinding berkerawang serta gabungan rona hijau pada dinding. Menunggu di sana suami tercinta, Muhammad Shadan dengan pakaian rona putih berkonsep Jawa rekaan Freda. Selepas majlis bertukar cincin dan memotong pulut kuning, barulah pengantin disiapkan untuk upacara Mandi Sampat. Menurut Raja Azmi, upacara Mandi Sampat menjadi amalan turun temurun keluarganya. Malah ketika melangsungkan perkahwinan dengan Jailani dulu, dia juga melaluinya. Tambahnya, apa juga yang digunakan ketika upacara ini berlangsung membawa maksud tertentu. Anak tangga tujuh tingkat misalnya membawa maksud tujuh lapis bumi, tujuh tingkat langit serta tujuh peringkat syurga dan neraka. Kain putih yang diletakkan di atas kepala menandakan langit yang melindungi kehidupan kita. Air yang dijirus menerusi kain putih pula menandakan nikmat air hujan yang diturunkan oleh Allah kepada semua makhluk di bumi.
"Dulu air ini mestilah diambil dari tujuh sungai tetapi hari ini untuk lebih berkat, saya menggunakan air zamzam yang dibawa pulang bapa saudara pengantin dari Makkah," katanya. Menurut Raja Azmi, air zamzam ini dicampur dengan tujuh jenis bunga daripada tujuh warna berbeza. Sebelum dimandikan, air ini dibacakan tujuh surah terakhir dalam al-Quran bertujuan dijauhkan daripada makhluk halus, dimurahkan rezeki, dijauhkan daripada sihir dan orang kafir, penenang hati, menjadi manusia yang sentiasa bersyukur dan tidak lupa diri.
Kemudian ditambah dengan bacaan surah daripada surah Nabi Muhammad sebagai penenang jiwa, surah Nabi Sulaiman yang dikaitkan dengan kemewahan dunia serta surah Nabi Shuib, tokoh perniagaan dan perdagangan, dengan harapan pasangan mampu mengikut syariat yang dibawakan ketiga-tiga nabi ini serta mengamalkannya. Menerusi Mandi Sampat, diharapkan pasangan berupaya melalui cabaran serta pahit maung kehidupan berumah tangga dengan jayanya. Ketika dimandikan, pengantin berpakaian ala Jawa dengan Puteri Suraya berkemban kain batik lepas bersama bunga melur penuh di dada manakala Shadan berkain batik lepas saja. Jirusan air dilakukan ibu bapa pengantin dimulai Mohd Jalani kemudian Raja Azmi. Selepas bersiram untuk mendapatkan keberkatan, sesiapa juga boleh melakukannya terutama keluarga pengantin.
Selesai mandi, kebiasaan dalam adat perkahwinan masyarakat Jawa adalah menabur manisan iaitu gula-gula sebagai menandakan kemakmuran rezeki pengantin. Namun Puteri Suraya dan Shadan menabur syiling 50 sen berjumlah RM2,000, dimulakan untuk kanak-kanak berjumlah RM500 dan selebihnya untuk dewasa.
Pasangan pengantin berharap dengan taburan duit ini pengantin akan dilimpahi rezeki berlipat ganda dan sentiasa dimurahkan rezeki sepanjang masa. Bagi pengumpul syiling pula, sesiapa yang rajin berusaha, dialah yang akan banyak mendapat hasilnya sama seperti dalam kehidupan seharian.
Menurut Raja Azmi, pengantin perlu menabur dari segenap penjuru teratak. Ada pantang larang ketika menaburkan syiling ini iaitu sesiapa juga tidak dibenarkan memijak atas teratak yang diibaratkan sebagai tingkat paling tinggi langit dan bumi juga syurga dan neraka.
Mengikut adat Jawa, sebelum majlis perkahwinan berlangsung, pengantin perempuan tidak dibenarkan keluar rumah tujuh hari tujuh malam dan tidak boleh bertemu pasangan selama 14 hari 14 malam.
"Tujuannya untuk mengelak sesuatu yang buruk berlaku serta menambah kasih sayang antara pasangan apabila bergelar suami isteri nanti," kata Raja Azmi yang memberitahu dulu pengantin tidak dibenarkan bertemu 21 hari 21 malam tetapi akibat peredaran zaman, tempoh ini melalui perubahan sedikit demi sedikit. Majlis yang diadakan tiga hari tiga malam berkonsepkan Melayu, Jawa dan Inggeris ini diuruskan sendiri Raja Azmi. Istimewanya, tetamu turut disajikan dengan hidangan Jawa seperti sambal pengantin, daging abon Surabaya, ayam sumur Pariaman, pecal serta ubi kayu rebus dimakan bersama sambal ikan bilis.
Info - Puteri Suraya Mohd Jalani selamat dinikahkan sekali lafaz dengan Mohammad Shadan Hashim yang juga pengarah filem, dalam majlis ringkas di kediaman mereka di Taman Ukay Perdana, 20 Februari lalu. - Puteri Suraya yang menerima mas kahwin RM300 dan wang hantaran RM35,000 sempena usia Shadan, dinikahkan sendiri Mohd Jalani di hadapan Iman Masjid Ulu Klang, Mohamad Ibrahim dan disaksikan dua bapa saudaranya iaitu Datuk Misbun Sidek dan Rashid Sidek.
- Mohammad Shadan, anak bongsu daripada sembilan beradik yang sebelum ini pernah mengarahkan filem Cinta 200 Ela dan Haru Biru menerima tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan daripada pengantin perempuan.
- Puteri Suraya kini bertugas sebagai editor komik Anak-Anak Sidek di syarikat ibunya, Pengedaran JAS, mengikat tali pertunangan dengan Mohammad Shadan pada 9 September tahun lalu selepas 13 tahun mengenalinya yang dulu dipanggil pak cik.
- Mereka merancang berbulan madu ke Manchester, England apabila selesai pembikinan filem Hanyut. Eropah menjadi pilihan kerana kedua-duanya adalah peminat fanatik pasukan bola sepak Manchester United.
- Raja Azmi memperuntukkan RM64,600 untuk kos bunga-bungaan segar yang mengelilingi segenap ruang termasuk pelamin dan meja makan sepanjang tiga hari majlis berlangsung.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: