|
|
FILEM Magika terhasil daripada himpunan cerita mitos, kepercayaan dan pantang larang yang menjadi pegangan masyarakat Melayu dahulu kala. Ia mengetengahkan keunikan budaya orang Melayu yang sarat dengan pengajaran dan mesej tersendiri dalam situasi lebih menghiburkan.
Sehingga ke hari ini, tiada penerbit filem yang mampu mengumpulkan budaya Melayu dalam bentuk hiburan muzikal yang istimewa. Ia meliputi skrip yang mudah, lakonan mantap dan jalan penceritaan yang jelas.
Alasan yang diberikan adalah kebanyakan filem muzikal sebegini amat sukar dan renyah. Banyak kerja yang perlu dilakukan terutama memasukkan elemen muzik yang bersesuaian. Filem Qabil Khusry Qabil Igam yang ditayangkan 2007 lalu adalah antara contoh filem yang pernah menampilkan unsur sedemikian.
Bagaimanapun dalam Magika, kelainan terletak pada penyampaian muzik yang dilampirkan bersama dialog. Setiap pelakon perlu menyanyi sambil melakonkan watak sendiri.
Dicampur pula dengan elemen kemelayuan yang ada pada setiap plot cerita menjadikan Magika kelihatan begitu hebat. Apatah lagi dengan suntikan teknologi perfileman iaitu imej penjanaan komputer (CGI) menjadikan filem buah tangan KRU Studios Sdn. Bhd. (KRU Studios) benar-benar menakjubkan.
Secara keseluruhan, Magika yang penuh dengan elemen romantik, komedi dan kasih sayang memberi nafas baru buat industri perfileman tanah air yang dahagakan pembaharuan.
Ini kerana selama ini kita dihidangkan dengan pelbagai genre yang tipikal tetapi Magika membuka mata tentang kebolehan anak Melayu menghasilkan filem setanding dengan filem antarabangsa.
Pengarah dan penulis skrip, Edry Abdul Halim berjaya menterjemahkan pantang larang secara baik dan tersusun tanpa meniru sebarang filem dongeng klasik Barat seperti Alice in Wonderland atau Jumanji.
Katanya, setiap babak mempunyai pengertian dalam konteks budaya Melayu sendiri seperti jangan membuang air kecil di pokok tanpa memberi kebenaran dan perlu menghormati orang lebih tua daripada kita.
‘‘Saya juga mahu menghidupkan watak yang diambil dari kisah dongeng seperti Puteri Gunung Ledang, Mahsuri, Hang Tuah, Nenek Kebayan, Awang Kening dan Puteri Santubong agar penonton merasa lebih dekat dengan karektor yang dilakonkan oleh pelakon,’’ katanya.
Dunia
Magika mengisahkan seorang kanak-kanak lelaki, Malik (lakonan Fimie Don) yang merajuk dengan kakaknya, Ayu (lakonan Diana Danielle). Malik secara tidak sengaja terjatuh ke dalam sebuah perigi yang terus membawanya ke dunia Magika.
Ayu nekad menyelamatkan Malik yang berada di bawah dasar perigi itu walaupun sering bertengkar dengan Malik. Di sinilah bermula penjelajahan Ayu yang menempuh pelbagai rintangan untuk menemui semula adiknya. Ayu bernasib baik kerana diselamatkan oleh Badang (lakonan Mawi). Selain itu, Ayu juga bertemu dengan Bunian (Maya Karin), Bawang Merah (Sharifah Aleya) Bawang Putih (Sharifah Amani), Orang Minyak (Nabil Raja Lawak), Makcik Halia (Adibah Noor), Pak Pandir (Aznil Hj. Nawawi), Mak Andeh (Raja Azura) dan Penunggu Gua (M. Nasir).
Magika mengumpulkan lebih 20 artis popular tempatan dengan 14 buah lagu. Antara lagu itu adalah Penyembuh Rindu, Senyummu Lagi dan Kehilangan nyanyian Mawi dan Diana Danielle.
Selain itu, terdapat juga nyanyian Maya Karin dalam lagu Gebang, Baik Kau Pulang Segera (Aznil Hj. Nawawi, Diana Danielle, Raja Azura), Siapa Lebih Berkuasa (Mawi, Ziana Zain, Fimie Don, Diana Danielle) dan Kita Bersaudara (KRU).
Justeru, nantikan sahaja kemunculan Magika yang bakal menemui penonton tidak lama lagi di pawagam terdekat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: