Wednesday, February 24, 2010

Fahrin tunggu jawapan Linda

KUALA LUMPUR: Pelakon dan duta produk, Fahrin Ahmad akan meneruskan tindakan undang undang terhadap bekas kekasihnya, Linda Onn, sekiranya usaha berdamai cuba diambil masih gagal menemui sebarang jalan penyelesaian.

Selepas isu konflik mereka berlanjutan hampir sebulan tanpa kata putus, Fahrin menunda tindakan saman terhadap penyampai radio itu kerana mahu kekusutan dua pihak diselesai dengan cara baik. Fahrin akui Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) ada menghubunginya, baru-baru ini untuk menyatakan kesudian mereka bertindak sebagai orang tengah.


“Sudah banyak kali saya katakan, tindakan undang-undang diambil bukan sebab hal peribadi sebaliknya atas dasar profesionalisme, kerjaya dan punca rezeki. “Saya menghormati pendirian pihak tertentu termasuk Seniman yang sudi menjadi orang tengah. Apapun, jika segala usaha termasuk oleh Seniman menemui jalan buntu, saya akan teruskan dengan tindakan mahkamah,” kata Fahrin dalam sidang media di Serai Satay Bar, Pavilion di sini, semalam (Selasa).


Sebelum ini Fahrin mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas kekasihnya itu kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap dirinya, menerusi laporan dua akhbar tempatan. Dia mendakwa kenyataan dikeluarkan Linda menerusi dua akhbar pada 19 Januari dan 20 Januari lalu menuduh dirinya seorang kaki pukul dan tidak menghormati wanita. Pada 26 Januari, Fahrin tidak lagi dapat menyembunyi perasaan sedihnya hingga menitiskan air mata berikutan kenyataan Linda menjejaskan emosi ibunya yang sedang sakit mendakwa Fahrin seorang kaki pukul.


Menerusi firma guaman, Tengku Naufal & Co, aktor kacak itu mengemukakan notis tuntutan mengandungi empat perkara, kenyataan maaf terbuka Linda menerusi akhbar, penarikan balik kenyataan penyampai radio itu yang dibuat sebelum ini, surat aku janji secara bertulis agar Linda tidak mengulangi perbuatan itu dan surat tuntutan ganti rugi. Fahrin, 30, berkata: “Memang sejak awal, saya mahu cari jalan penyelesaian baik. Malah, langkah diambil sebagai menghormati pendapat orang lain terutama pandangan beberapa artis senior menasihatkan saya supaya menimbang untuk berdamai,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: