Rabiulawal mencatat pelbagai peristiwa penting dalam sejarah tamadun Islam dan di antara yang terbesar adalah kelahiran Nabi Muhammad SAW, pelantikan Baginda sebagai Rasul junjungan selain wafatnya Rasullulah SAW yang dikebumikan di Madinah Al-Munawwarah pada bulan sama.
Justeru, RTM turut serta menyiarkan pelbagai program istimewa antaranya teater berjudul Natrah yang dirakamkan dengan kerjasama Istana Budaya khas untuk penonton setia salurannya.
Bakal bersiaran pada 28 Februari 2010 (Ahad), jam 3.05 petang di TV1, Teater Natrah mengisahkan kehidupan seorang gadis berketurunan Belanda bernama Bertha Hertogh atau nama Melayunya Natrah Maarof yang dipelihara seorang wanita bernama Che Aminah Mohamad tanpa pengetahuan bapanya, Sarjan Adrianus Petrus kerana beliau ditahan dalam tawanan tentera Jepun. Che Aminah membesarkan Bertha dengan cara hidup Melayu dan berpendidikan Islam.
Namun setelah Sarjan Hertogh dibebaskan dari tawanan Jepun akibat pengeboman oleh Amerika terhadap Hiroshima dan Nagasaki beliau pulang ke Bandung dan mencari kembali anaknya Natrah.
Sejak itulah, berlakunya perebutan hak penjagaan antara Che Aminah dan ibu bapa Natrah di Belanda. Che Aminah yang diwakili peguam bela Ahmad Ibrahim, menang kes rayuannya dan Natrah dikeluarkan dari York Hill.
Bagi mengelakkan konflik terus berulang, Natrah dan Mansoor Adabi dikahwinkan secara nikah gantung ketika mencecah 13 tahun. Namun ia berbeza dengan undang-undang Belanda, yang mana anak gadis berusia 16 tahun ke bawah masih di bawah hak jagaan bapanya.
Jangan lupa menyaksikan teater Natrah yang dilakonkan Remy Ishak, Umie Aida, Sofia Jane, Maya Karin dan diarahkan Erma Fatima.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: