Thursday, February 25, 2010

Mengangkasa Warisan Seni Kraf Negara

Batik adalah antara produk kraf yang dihasilkan oleh usahawan kraf tempatan. Pelbagai hasil batik dipamer dan dijual di Karyaneka, anak syarikat Kraftangan Malaysia di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay dekat Kuala Lumpur.

SENI kraf bukan sahaja warisan yang perlu dipelihara kerana nilai estetiknya tetapi sumbangan besarnya kepada pembangunan sosio ekonomi usahawan industri itu.

Bermula hanya sebagai industri desa, seni kemahiran tradisi ini banyak menggunakan hasil rimba termasuk rotan di samping seramik, tekstil (songket dan batik) dan logam seperti tembaga.

Penubuhan Lembaga Kraftangan Malaysia (LKM) pada 1973 ialah langkah terawal kerajaan untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan industri berkenaan dan untuk menjaga kepentingan pengusahanya yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk desa.

Status LKM bertukar kepada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) pada 1 Okt 1979.

Kraftangan Malaysia ditubuhkan di bawah Akta 222, Akta Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia 1979 sebagai badan berkanun, ketika itu diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Perusahaan Awam.

Meletak Wawasan

"Kraftangan Malaysia mempunyai wawasan untuk menjadi pemimpin dalam pembangunan industri kraf negara, kukuh dan berdaya saing.

"Untuk mencapai wawasan ini, perancangan dan pendekatan mapan perlu dilakukan bagi memastikan industri kraf akan terus kekal menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara di samping menjana sumber pendapatan pengusaha," Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Mohd Kamil Mohd Ali memberitahu Bernama dalam wawancara di pejabatnya di Jalan Conlay di sini baru-baru ini.

Untuk memastikan wawasan itu bukan setakat impian atau igauan, Kraftangan Malaysia meletakkan lima sasaran untuk dicapai sepanjang 2010.

Sasaran berkenaan, mengikut kata Mohd Kamil, ialah meningkatkan kesedaran dan minat terhadap penggunaan kraf tempatan, membangunkan produk berkualiti yang berorientasikan pasaran serta memperluas saiz pasaran produk kraf.

Dua matlamat lain ialah menggalakkan pertumbuhan dan memajukan industri kraf dan menyediakan tenaga terlatih mengikut keperluan industri kraf.

Kraftangan Malaysia juga menyusun enam strategi untuk merealisasikan matlamat-matlamat berkenaan.

Strategi itu ialah membangunkan pasaran domestik dan antarabangsa, membangunkan produk, meningkatkan penggunaan teknologi dalam proses pembuatan serta menyediakan insentif dan kemudahan untuk pengusaha.

Kraftangan Malaysia juga akan berusaha mengekalkan kraf warisan 1Malaysia di samping menyediakan kemudahan pembelajaran dan prasarana bagi melahirkan tenaga terlatih.

Banyak Pengalaman

Mohd Kamil Mohd Ali boleh dikatakan berpengalaman luas dalam industri kraf negara.

Anak jati Kelantan ini menyandang jawatan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia bermula 15 Julai 2009.

Beliau memulakan karier dalam industri kraf apabila berkhidmat dengan LKM pada 1977 sebagai Penolong Pegawai Kemajuan.

Tugasan pertama beliau ialah sebagai pengurus pusat kemajuan kraf Alor Star, Kedah di Alor Star, Kedah pada 2 Jun 1977.

"Tidak ada pejabat sendiri ketika itu dan kami menumpang di bengkel bangunan MADA. Seingatan saya, hasil kraf pertama yang dibuat ialah daripada tanduk kerbau.

"LKM masa itu ialah anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan ditubuhkan di bawah Akta Mara," kata Mohd Kamil yang mempunyai kelulusan Diploma Pengajian dan Perniagaan (Kewangan) serta Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran dan Kewangan).

Selepas berkhidmat kira-kira lima tahun di Kedah, beliau kemudian dipindahkan ke Kuala Lumpur pada Januari 1982.

Menurut Mohd Kamil, sebahagian besar daripada pengusaha kraf ketika itu melakukan perusahaan mereka secara separuh masa.

"Pihak LKM berusaha menyakinkan mereka untuk menjadi pengusaha kraf sepenuh masa.

"Sebelum kita boleh ubah pemikiran pengusaha-pengusaha kraf ini, kita kena pastikan produk kraf ada pasaran. Sebab itulah dari semasa ke semasa kita akan memperhebat program promosi kita," demikian kata Mohd Kamil.

Komitmen Kerajaan

Kesungguhan kerajaan untuk memastikan industri kraf negara terus unggul dan berkembang diterjemahkan melalui peruntukan yang besar untuk industri kraf.

Mohd Kamil berkata pada 2009, bajet pembangunan yang disalurkan menerusi Kraftangan Malaysia untuk membantu usahawan kraf bernilai RM54 juta.

"Untuk tahun 2010, peruntukan yang diberi kurang sedikit tetapi ini tidak akan menjejaskan usaha dan komitmen kita untuk terus membantu pengusaha kraf," jelasnya.

Jumlah bajet yang besar sebelum ini membolehkan Kraftangan Malaysia menubuhkan pelbagai prasarana, antaranya pusat pembangunan kraf di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

"Sekarang semua negeri sudah mempunyai cawangan Kraftangan Malaysia. Ini untuk memberi khidmat yang lebih berkesan kepada pengusaha-pengusaa kraf.

"Kami ada petugas yang mempunyai pengetahuan teknikal dan bukan teknikal sesuai dengan khidmat yang akan diberikan kepada pengusaha sedia ada dan juga pengusaha baru.

"Antara khidmat petugas ini ialah untuk membangunkan usahawan kraf termasuk dari segi bantuan rekaan yang berorientasikan pasaran," kata Mohd Kamil.

Bantuan serta komitmen kerajaan menjaga kepentingan industri kraf dilihat sebagai antara faktor yang menyumbang kepada penambahan bilangan pengusahanya.

Daripada sekitar 4,000 pengusaha pada 2004, bilangan itu dilaporkan meningkat kepada kira-kira 6,000 orang pada 2009.

"Pihak Kraftangan Malaysia sedang membuat bancian terkini dan menjelang Mac ini kita jangka dapat mengetahui bilangan terkini pengusaha di negara ini," tambah Mohd Kamil.

Pelbagai Bantuan

Tidak keterlaluan jika dibuat andaian bahawa pengusaha kraf negara dijaga seperti "menatang minyak yang penuh".

Pelbagai bantuan dihulurkan kepada pengusaha kraf bagi memastikan minat serta kemahiran mereka tidak "luntur dek hujan dan tidak lekang dek panas".

Bentuk bantuan bagaimanapun berbeza mengikut saiz perusahaan kraf dan menurut Mohd Kamil, bantuan untuk pengusaha kecil lazimnya ialahdari segi menyediakan bengkel, rekaan dan promosi.

Bagi pengusaha besar pula, bantuan lebih difokuskan kepada aspek pemasaran termasuk penyertaan dalam program promosi kerana pihak berkenaan tidak mempunyai masalah dalam kemampuan pengeluaran.

Bagi tahun 2010, Mohd Kamil berkata pihaknya akan terus menyalurkan bantuan dari aspek rekaan, bengkel, mesin/jentera di samping peralatan yang diperlukan bergantung kepada jenis perusahaan kraf.

Di samping itu, Kraftangan Malaysia juga akan mempergiat usaha pemasaran serta promosi untuk meningkatkan permintaan produk logam terutamanya tembaga.

Agensi itu juga berperanan mengenal pasti bahan mentah gantian yang lebih murah agar produk yang dipasarkan mampu dibeli dan meningkatkan penggunaan teknologi terkini dalam proses pembuatan.

Antara Aktiviti Utama

Kraftangan Malaysia secara berterusan mengadakan pelbagai program pembangunan untuk membawa usahawan kraf tempatan ke tahap yang lebih berdaya saing, berdaya maju dan berdaya tahan.

Satu daripada aktiviti utama di bawah Program Pembangunan Usahawan Krafnya ialah Projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI).

Di bawah projek ini, Kraftangan Malaysia setakat ini membangunkan 69 projek berbanding 16 ketika projek ini dimulakan pada 2003. Ia terdiri daripada bidang hasil logam, hasil rimba, seramik dan tekstil.

Antara projek yang dibangunkan ialah tenunan di daerah Pekan, Pahang, batik di Kota Bharu, Kelantan, hasil rimba/ukiran kayu di Temerloh, Pahang dan kraf buluh dan bemban di Serian, Sarawak.

Seramai 691 usahawan kraf berjaya dibangunkan melalui projek SDSI ini dan ia juga memberi peluang pekerjaan kepada 3,165 orang.

"Untuk satu daerah, biasanya kita ada tiga hingga lima pengusaha. Kami akan dari semasa ke semasa mencari usahawan yang berpotensi untuk dimajukan secara lebih bersistematik.

"Pengusaha yang kami cari mesti berdaya maju dan sanggup bersama kita untuk dididik supaya dia boleh maju ke depan dan produk kraf yang dihasilkan mempunyai mutu komersil," jelas Mohd Kamil.

Pejabat negeri Kraftangan Malaysia akan memantau kemajuan pengusaha setiap bulan dari segi tempahan yang diterima juga hasil jualan.

Keperluan pengusaha turut diambil kira yang membabitkan antaranya pengeluaran dan rekaan.

"Untuk memastikan industri kraf negara terus unggul dan berkembang, kita perlu kuatkan dari segi pengeluaran juga usaha bersepadu dalam bidang rekaan," kata Mohd Kamil.

Institut Kraf

Di samping mengambil tenaga mahir dari dalam dan luar negara untuk membantu dari aspek meningkatkan kualiti kemasan produk, Kraftangan Malaysia turut membantu melatih kumpulan pekerja bagi kegunaan pengusaha kraf.

Latihan tenaga mahir dan terlatih dalam bidang kraf ini dijalankan di Institut Kraf Negara (IKN) yang terletak di Km 20, Jalan Ipoh-Rawang, Taman Rekreasi Templer.

Penubuhan IKN diluluskan Jemaah Menteri pada Ogos 2001 dan ia kini menjadi pemangkin untuk melatih lebih ramai modal insan yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang kraf.

Pada masa ini, Institut ini menawarkan Kursus Akademik dan Kemahiran Kraf peringkat Sijil dan Diploma dalam jurusan batik, tenunan, logam, kayu, seramik dan rotan.

Sehingga 31 Dis 2009, seramai 346 orang pelajar peringkat Diploma dan 159 pelajar peringkat Sijil mengikuti pengajian di Institut itu.

Seramai 78 orang pelajar peringkat Sijil dan 120 orang pelajar peringkat Diploma tamat pengajian pada 2009.

Skim Adiguru

Sebagai usaha untuk memelihara ketinggian mutu seni kraf negara supaya ia kekal menjadi lambang budaya dan jati diri rakyat, satu skim diberi nama Adiguru Kraf dimulakan pada 1986.

Skim ini antara inisiatif Kraftangan Malaysia di bawah Program Pemuliharaan Kraf untuk memastikan warisan seni kraf turun temurun ini dapat dikekalkan.

Adiguru Kraf ialah seseorang, baik lelaki atau perempuan yang diberi penghormatan dan pengiktirafan oleh Kerajaan Malaysia sebagai tokoh atau master craftsman.

Mereka yang dipilih perlu memenuhi beberapa kriteria sebelum dinobatkan sebagai Adiguru Kraf.

Antaranya mempunyai pengetahuan serta kemahiran tinggi dalam bidang kraf kepakarannya atau ahli dalam seni kemahiran ketukangan, penciptaan, penggubahan produk dan pengeluaran barangan kraf warisan bangsa Malaysia.

Kriteria lain ialah beliau memainkan peranan penting dalam usaha memulih dan memelihara seni kraf warisan dan mempunyai daya kreatif dan inovasi yang tinggi dalam memaju dan meningkatkan kualiti produk kraf yang diusahakan.

"Setakat ini, 24 orang pengusaha kraf dipilih untuk Skim Adiguru Kraf. Di bawah program ini juga, tokoh kraf ini boleh melatih dan memindahkan pengetahuannya kepada anak-anak muda yang berlatih dengannya.

"Anak-anak muda inilah yang akan menjadi pewaris kepada bidang kemahiran kraf Adiguru ini.

"Secara tidak langsung, ini juga dapat memperbetul tanggapan sesetengah pihak bahawa pengusaha kraf hanya terdiri daripada warga emas," kata Mohd Kamil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: