|
|
IBU bapa tentunya mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Namun dalam usaha membesarkan generasi muda di zaman kebangkitan media massa ini, ada yang alpa mendidik anak menghargai nilai wang.
Ini tidak bermaksud isu itu diabaikan sama sekali. Kebanyakan ibu bapa memberikan wang poket malah elaun mingguan atau bulanan bagi mengajar anak mereka menguruskan wang secara bijak.
Persoalannya, adakah memadai memberikan anak-anak kebebasan membuat keputusan atau kadangkala terlalu besar sehingga anak langsung tidak peduli apa yang dibelanjakan dengan duit saku tersebut.
"Ini kerana ramai ibu bapa ketika zaman kanak-kanaknya terpaksa melalui kesukaran apatah lagi dimanjakan dengan kemewahan hidup.
"Sekarang mereka cuba memberikan segala-gala yang termampu untuk anak-anak kerana tidak mahu melihat mereka hidup susah," kata Ketua Pegawai Eksekutif Tune Money Sdn. Bhd., Joyce Lai.
Apabila ibu bapa tidak teragak-agak menunaikan segala yang dihajati, sudah tentu anak-anak membesar dengan tidak tahu menghargai nilai wang.
Malangnya, tabiat itu menjadikan generasi seterusnya bukan sahaja enggan memahami nilai wang malah mendorong mereka menjadi boros dan tidak pandai menabung untuk masa depan.
Sehinggalah suatu ketika apabila mereka menjadi golongan dewasa yang bukan sahaja terpaksa menanggung kos kehidupan dengan pendapatan tidak seberapa malah dibebani pula hutang peribadi seperti ansuran kenderaan, rumah dan kad kredit.
Sebagai wanita berusia 30-an yang hidup di tengah-tengah metropolitan, Joyce juga pernah melalui kepayahan yang sama dan terperangkap dalam bebanan hutang kad kredit.
"Saya tahu ramai terpaksa belajar mendisiplinkan diri hanya selepas dikejar bebanan hutang kad kredit yang cepat 'membukit'.
"Apatah lagi sukar untuk mengawal kegunaan kad kredit yang boleh digunakan di mana-mana termasuk membeli barangan dapur, mengisi petrol, makan di restoran dan banyak lagi," kata Joyce.
Bagaimanapun, katanya, pemilihan 'wang plastik' yang betul sama ada kad kredit mahupun debit dapat membezakan antara penjimatan dan pembaziran ketara lebih-lebih lagi jika digunakan tanpa kawalan.
Ini kerana beliau sendiri mengharungi pengalaman menggunakan kedua-dua jenis kad tersebut bagi memastikan keberkesanan dan kesesuaiannya terutama bagi masyarakat urban di zaman teknologi ini.
Kata Joyce, dia bukan sekadar 'menjual produk' malah mengamalkan penggunaan kad debit sebagai sebahagian gaya hidup sejak wujudnya Tune Money.
"Seperti kebanyakan orang, saya juga pernah menggunakan kad kredit dan faham benar masalah serta kepayahan menguruskan wang jika terlalu bergantung kepadanya.
"Apatah lagi bila kad ada di tangan, leret saja tanpa fikir. Apabila bil sampai, sudah tentu faedah dikenakan juga melambung tinggi," kata Joyce.
Kad debit bukan satu fenomena baru. Kebanyakan negara asing telah menggunakannya sejak lebih dua dekad lalu bagi menguruskan perbelanjaan harian.
Tetapi ia kurang popular jika dibandingkan dengan kad kredit yang masih menjadi pilihan ramai lebih-lebih lagi golongan eksekutif muda yang memperoleh gaji permulaan lumayan.
Ramai berpendapat penggunaan wang plastik mampu mengawal perbelanjaan bulanan yang bukan sekadar melibatkan bil malah tol, minyak, barangan dapur dan banyak lagi.
Menurut Joyce, tidak mustahil satu hari semua rakyat Malaysia mengikuti jejak komuniti negara maju yang sudah pun mempraktikkan penggunaan wang plastik pra bayar seperti Tune Money.
Ini kerana, masyarakat umum mula menerima baik perubahan itu apatah lagi pihaknya menyediakan pelbagai kemudahan dan ganjaran bagi menarik lebih ramai pengguna kad pra bayar tersebut.
Golongan paling sesuai dan berpotensi mendapat banyak manfaat hasil penggunaan kad debit adalah penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang memerlukan wang bagi tujuan yuran, buku rujukan, kurikulum dan sebagainya.
Di samping itu mereka berada dalam lingkungan usia yang memerlukan kebebasan dalam berbelanja pada masa sama berjimat untuk mendapatkan kelengkapan belajar.
"Anak remaja sekarang terdedah kepada media massa yang menyajikan pelbagai pilihan untuk berbelanja.
"Kebanyakan mereka mampu membuat keputusan sendiri bila diminta membuat pilihan, jauh berbeza dengan generasi satu atau dua dekad lalu," jelasnya.
Atas kesedaran itu juga, ibu bapa perlu melakukan sesuatu untuk mengawal perbelanjaan anak-anak yang semakin meningkat, ditambah dengan bebanan kenaikan harga barangan keperluan saban tahun.
Salah satu caranya adalah menggunakan kad pra bayar yang mengehadkan penggunaan wang mengikut bajet tertentu setiap bulan menggunakan Tune Money.
Melalui cara ini, kata Joyce, generasi muda berpeluang membuat pilihan sendiri dengan lebih bertanggung jawab dan berhati-hati.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: