|
|
LANTAI kedai kopi umpama lautan darah, ditambah pula bau darahnya, membuatkan saya hampir hendak muntah.
"Degupan jantung saya seolah-olah terputus untuk beberapa saat melihat keadaan di tempat kejadian.
"Namun, dek kerana tugas, saya cekalkan hati dan berbekalkan semangat serta perasaan ingin tahu, saya memberanikan diri. Saya susun langkah demi langkah menuju ke arah tempat kejadian yang dikerumuni orang ramai itu," kata Koperal Mohd. Ezanee Zakaria, Penyelia Balai Polis Hulu Kelang ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Menceritakan pengalaman pertama melihat mayat ketika bertugas di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kemaman, Mohd. Ezanee berkata, ia bukan sesuatu yang mudah untuk dihadapi.
"Kejamnya pembunuh ini... Sanggup dia bunuh sampai begini," bisik hatinya sejurus melihat mayat seorang lelaki warga Indonesia, berhampiran sebuah kedai kopi di Kemaman yang mati dibunuh secara kejam.
Lelaki itu ditemui mati dengan kepala hampir terbelah dua, sebelah tangannya terputus dan ususnya pula terburai kerana ditusuk senjata tajam di perut.
"Tidak sampai 10 minit, kepala saya menjadi berat, seolah-olah ada seketul batu besar di atas kepala.
"Tubuh saya mula menjadi sejuk dan tanpa disedari pandangan mata semakin kabur. Saya pening dan hampir muntah bila pertama kali tengok mayat dalam keadaan ngeri," ceritanya.
Dalam kes itu, mangsa berusia 40-an dibunuh dengan tanpa rasa peri kemanusiaan oleh anak saudaranya sendiri hanya kerana masalah gaji.
Mangsa sebelum itu dikatakan sedang minum petang bersama rakan-rakannya sebelum anak saudaranya muncul dan menjerit-jerit mengenai hal gaji.
Ekoran tidak puas hati dengan penjelasan yang diberi oleh mangsa, suspek bertindak menetak mangsa termasuk tangannya terputus akibat ditetak.
Menariknya, mangsa yang dalam keadaan tangannya terputus dua serta kepalanya ditetak masih boleh mengejar suspek kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian sebelum rebah dan mati.
Sambung Mohd. Ezanee, dia terpaksa mendekati mayat itu serta mengutip tangan yang terputus walaupun pada awalnya perasaan takut menyelubungi dirinya.
"Tapi saya teruskan juga kerana ia merupakan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bagi memastikan penyiasatan tersebut selesai," ujarnya.
Pada hari sama juga Mohd. Ezanee bersama-sama pasukannya bergerak mencari anak saudara mangsa yang merupakan satu-satunya suspek dalam kejadian ini.
Berkat usaha mereka, suspek berjaya ditahan dalam tempoh kurang dari 24 jam. Dia ditahan di sebuah ladang kelapa sawit, kira-kira 10 kilometer dari lokasi itu.
Menyingkap latar belakang anak kepada pasangan Allahyarham Zakaria Hassan dan Che Kuji Che Musa, 65, ini menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Dua, Bachok, Kelantan sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Bachok di tempat sama.
Selepas tamat tingkatan lima, Mohd. Ezanee berkerja sebagai pembantu sebuah klinik dan menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 29 Julai 1991.
Sejurus tamat menjalani latihan, dia diserapkan ke IPD Kemaman di bahagian Tugas Am. Dari situ beliau dipindahkan ke cawangan Bilik Gerakan di IPD yang sama.
Beliau sebelum memegang jawatan ini dua tahun lalu, pernah bertugas di Cawangan Trafik di IPD tersebut.
Bertemu jodoh dengan pilihan hatinya, Nor Azlina Yaakub, 34, dan hasil perkongsian hidup pasangan itu dikurniakan seorang putera dan tiga puteri.
Ditanya mengenai pengalaman bertugas di cawangan trafik, Mohd. Ezanee berkata, pengalaman beliau mengiring bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sejauh 150 km. pada 2008 masih segar dalam ingatannya.
"Ketika itu beliau masih menjadi Perdana Menteri. Tun dalam perjalanan untuk bermesyuarat dengan Sultan Brunei dalam satu tugas rasmi," katanya.
Suasana ketika itu hujan lebat ditambah pula dengan keadaan jalan yang tidak sempurna. Bagaimanapun demi tugas yang dipikul serta rasa tanggungjawabnya itu, perkara itu bukanlah sesuatu yang besar. Hujan lebat juga tidak menjadi halangan meskipun dia basah kuyup.
Yang penting Perdana Menteri perlu sampai dengan selamat.
Walaupun hanya sekadar mengiring kereta Tun, beliau bangga seolah-olah melakukan sesuatu yang sangat besar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: