Thursday, February 25, 2010

Chetan halangan utama

LEE Chong Wei (gambar) akui laluan amat sukar di Siri Super Seluruh England, Mac depan, namun tetap tenang dengan fokus kepada persiapan latihan berbanding terlalu memikirkan lawan bakal dihadapi.

pix_middle
Jika ramai menganggap laluan sukar Chong Wei bermula di pusingan kedua apabila berdepan Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia, tuan punya badan pula berpendapat cabaran bermula seawal pusingan pertama.


“Kali ini, Seluruh England menyaksikan semua 32 pemain terbaik mengambil bahagian, jadi saingan memang lebih sengit,” kata Chong Wei selepas latihan di Stadium Juara Bukit Kiara, semalam.


Selain Chetan Anand, jaguh negara itu bakal berdepan cabaran pemain seperti Sony, Du Pengyu, Jan Jorgensen, Peter Gade dan Taufik Hidayat sebelum Lin Dan menanti di final.


Chong Wei menganggap cabaran pemain India, Chetan Anand di pusingan pertama tidak boleh dipandang remeh kerana pemain India itu sering memberi cabaran yang tidak dapat diduga.


“Bagi saya, kesukaran bermula dari pusingan pertama lagi. Chetan seorang pemain yang bagus, bijak menukar corak permainan ketika berdepan lawan berbeza, namun saya tidak mahu fikirkan sangat mengenai siapa lawan saya. Yang penting, saya perlukan persiapan terbaik untuk berdepan cabaran sesiapapun,” katanya.

Chong Wei mengakui persiapan dalam baki dua minggu sebelum kejohanan itu berjalan lancar dan dia bebas daripada kecederaan.


“Sudah seminggu saya berlatih selepas kembali daripada cuti Tahun Baru Cina. Saya rasa sudah dapat kembali tahap kecergasan dan kekuatan fizikal,” katanya yang bersemangat untuk menghadapi saingan itu.


Jaguh negara itu berharap dapat muncul juara pada edisi ke-100 tahun Seluruh England selepas mencatat pencapaian terbaik mara ke final tahun lalu yang menyaksikannya dikecewakan juara Olimpik, Lin Dan.


Chong Wei yang belum pernah memenangi kejuaraan itu mendakwa tidak gentar bertemu Lin Dan jika bertemu lagi di final.


“Bagi saya, apa yang penting sekarang ialah memberikan yang terbaik untuk negara, mencipta sejarah dan meraih kemenangan. Justeru, saya akan melakukan persiapan terbaik, sama ada dari segi kecergasan atau mental.


“Saya tidak fikirkan kekalahan. Saya tidak fikirkan sangat lawan saya,” katanya yang kemudian ditemui selepas menghadiri majlis ramah mesra Yayasan Kebajikan Atlit Kebangsaan (Yakeb) di Sri Satria, Putrajaya, semalam.


Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga penaung Yakeb.


Chong Wei juga mengakui berasa tekanan untuk merebut gelaran juara kejohanan itu tapi fokus utamanya adalah menyiapkan diri menghadapi siapa saja dengan penuh semangat.


“Menang atau kalah bukan itu yang bermain di fikiran saya. Saya hanya mahu melakukan persiapan terbaik,” katanya.


Tanpa berselindung Chong Wei berkata, selepas tamat saingan Seluruh England, dia akan memberi tumpuan bagi mengatur persiapan menghadapi Piala Thomas dan berkemungkinan tidak menyertai kejohanan lain. “Adalah menjadi tanggungjawab saya dan pemain lain dalam skuad negara memberikan persembahan yang terbaik walaupun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hanya meletakkan sasaran ke separuh akhir.

“Saya juga berharap masalah yang membabitkan jurulatih tidak akan mengganggu persiapan skuad Piala Thomas untuk berlatih bersungguh-sungguh,” katanya.


Pada masa sama, Chong Wei secara terbuka mempertahankan jurulatih skuad badminton negara dengan menyatakan jurulatih negara tidak boleh dijadikan ‘kambing hitam’ andai skuad negara gagal.


“Tidak patut jurulatih saja dipersalahkan. Jurulatih hanya bantu pemain untuk beraksi dengan lebih baik dan andai gagal, takkan nak salahkan jurulatih saja,” katanya merujuk kepada kenyataan beberapa pemimpin tertinggi BAM, yang baru-baru ini seolah-olah memberikan ‘kata dua’ kepada jurulatih jika skuad negara gagal dalam kejohanan tertentu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: