|
|
SETIAP kali membaca kisah penemuan mayat bayi yang baru lahir dibuang, spontan Sarjan Azilina Abdul Aziz, 46, akan terkenang pengalamannya semasa bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat (AIO) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang sekitar 1990-an.
Perbuatan kejam ibu bapa berhati binatang yang sanggup membuang dan membunuh anak sendiri ini mengingatkannya kepada satu kes pernah disiasatnya.
Beliau yang kini bertugas sebagai AIO Trafik Kuala Lumpur memberitahu, pada hari kejadian, dia dihubungi oleh Ketua Polis Balai Ampang agar pergi ke sebuah rumah di Tasik Tambahan, Ampang kerana terdapat laporan kematian seorang bayi perempuan.
Tanpa banyak soal, Azilina bergegas ke tempat kejadian untuk menyiasat apa yang berlaku. "Tiba di rumah itu, saya lihat orang ramai sudah berkumpul dan seorang wanita muda kelihatan menangis teresak-esak.
"Apabila didekati, wanita berusia awal 20-an itu mengaku sebagai ibu kepada bayi yang dilaporkan mati," katanya menceritakan kembali pengalaman yang sukar dilupakan semasa bertugas kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Azilina, siasatan mendapati bayi perempuan berusia setahun dan anak pertama kepada wanita itu mati akibat tersedak susu.
Meskipun kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut tetapi Azilina berasa marah terhadap ibu bayi tersebut kerana kecuaian wanita itu.
Ini kerana wanita itu telah meninggalkan anaknya minum susu sendirian dalam buaian sehingga menyebabkan bayinya tersedak dan tidak boleh bernafas.
"Saya marah... Bayi comel itu mungkin tidak mati jika ibunya memberi susu dengan cara memangku," katanya.
Selesai menyiasat tempat kejadian, Azilina membawa mayat bayi itu untuk dibedah siasat ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).
Memandangkan mangsa hanya seorang bayi, beliau memangku mayat yang dibalut dengan kain batik itu sampai ke hospital.
Namun, perjalanan ke hospital begitu mencabar apabila tempoh perjalanan yang dekat terpaksa mengambil masa lebih sejam untuk sampai gara-gara terperangkap dalam kesesakan jalan raya memandangkan pukul 5 petang merupakan waktu puncak pulang dari pejabat.
"Tangan saya berasa lenguh memangku mayat bayi tersebut begitu lama. Mayatnya pula tiba-tiba menjadi semakin berat dan sejuk," katanya yang sampai kini tidak boleh melupakan peristiwa aneh tersebut.
Azilina yang memulakan kerjaya sebagai anggota polis pada 21 Februari 1988 memberitahu, terlalu banyak kenangan pahit dan manis dilaluinya sepanjang 22 tahun berkhidmat dalam pasukan beruniform itu.
Semasa bertugas menyelia lokap di IPD Ampang, beliau pernah dilemparkan dengan makanan dan dimaki-hamun oleh suspek yang tidak berpuas hati dengan polis.
"Mereka melempar makanan kerana kononnya mahu memprotes. Ada juga yang bertindak keterlaluan apabila membuka seluar menunjukkan alat sulit mereka kepada saya.
"Kalau ikutkan hati mahu sahaja saya bertindak kasar terhadap mereka tetapi memikirkan niat saya mahu mencari rezeki dan menunaikan tanggungjawab maka saya buat tidak kisah," katanya mendedahkan petua bagaimana menghadapi kerenah suspek yang memeningkan kepala.
Bercerita mengenai kariernya, anak bongsu daripada lapan beradik ini memberitahu, sebaik sahaja tamat latihan konstabel di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol), beliau dihantar bertugas ke Batalion 69 Komando, Pasukan Polis Hutan (sekarang Pasukan Gerak Am) di Ulu Kinta, Perak.
Di situ, beliau dilatih sebagai anggota payung terjun dan turut menjalankan tugas pentadbiran sehinggalah ditukarkan ke IPD Ampang pada 1994.
Di IPD Ampang, beliau menjalankan tugas am sebelum dilantik menjadi AIO dan dinaikkan pangkat sebagai Sarjan.
Pada akhir 2006, beliau ditukarkan ke Cawangan Trafik Kuala Lumpur sebagai AIO atas permintaan sendiri kerana mahu menimba pengalaman baru.
Di sini, anak bongsu daripada lapan beradik dan isteri kepada Mohd. Sabri Hassan, 51, serta ibu kepada dua gadis remaja iaitu Liana, 17, dan Nuur Ilya, 15, berpeluang memahirkan diri menunggang motosikal polis berkuasa tinggi.
Azilina berkata, meskipun bidang kepolisan diceburi atas paksaan arwah bapanya, Abdul Aziz Zainuddin tetapi beliau tidak menyesal menerima tawaran kerja tersebut.
"Arwah bapa saya pernah bekerja sebagai anggota polis sebelum bertukar kerjaya menjadi anggota tentera dan benar-benar mengharapkan ada di kalangan anak-anaknya mengikut jejak langkah sama.
"Tiada seorangpun adik-beradik saya menjadi anggota pasukan beruniform dan ayah memaksa saya menyertai polis," katanya bersyukur kerana dapat memenuhi impian orang tua tersayang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: