Wednesday, February 24, 2010

Warga emas maut, tiga cedera dalam nahas

PERMAISURI: Seorang warga emas maut manakala tiga yang lain cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 74.3, Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kampung Air Sejuk di sini, semalam.

BANTU...Habsah membantu Mat Saud yang cedera.
BANTU...Habsah membantu Mat Saud yang cedera.
Kejadian jam 3.45 petang itu menyebabkan mangsa, Tunku Hishamuddin Tunku Hider, 67, yang memandu Perodua Kelisa maut di tempat kejadian selepas dipercayai gagal mengawal kenderaannya sebelum merempuh sebuah lori membawa muatan buah dan sayur. Berikutan pertembungan dua kenderaan itu, seorang penunggang motosikal yang mengekori belakang lori berkenaan turut cedera ketika cuba mengelak.


Pemandu lori berkenaan, Mat Soud @ Mat Harun Mat Husin, 43, berkata dia bersama isterinya, Habsah Setapa, 39, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Tanah, Renek, Besut selepas selesai menjalankan perniagaan di pasar tani di Bandar Permaisuri. “Semuanya berlaku terlalu pantas. Saya tidak sempat mengelak apabila pemandu terbabit memasuki laluan saya lalu merempuh bahagian depan lori,” katanya yang turut cedera dan menerima 12 jahitan di dahi.


Menurutnya, isterinya hanya cedera di lengan dan penunggang motosikal yang mengekori belakang lorinya cedera ringan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Superintendan Shaik Othman Abdul Hamid, berkata pemandu Perodua Kelisa itu mati di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala dan paha.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: