Saturday, February 27, 2010

Jalani hidup dalam krisis




MAYA KARIN menguntum senyum semanis gula sewaktu hadir bertemu beberapa teman media petang Khamis lalu. "Maaf, saya pula yang terlambat," sapanya ramah. Cuba tersenyum dan sesekali menceriakan diri, ironi, pada mata bundar wanita kacukan ini, hatinya sedang luluh.

Maya, berbaju kelabu, jean biru dan rambut disanggul tinggi melabuhkan punggung di kerusi putih Restoran Bijou, Mont Kiara yang sarat aroma romantis. Tetapi romantika Maya dan suaminya, Steven yang dinikahi di Bellagio, Itali pada 14 Ogos 2008 lalu sedang pudar.

Tidak perlu mengambil masa lama atau berdolak-dalik, Maya yang terkenal dengan sifat suka berterus terang dan bijak berdiplomasi itu menghuraikan apa yang terbuku di hati.

Biar banyak yang disimpan dalam hati sebagai tanda hormat kepada prinsip diri dan rumah tangga, aktres berprofil tinggi tanah air itu masih berkongsi duka rumah tangga yang dihadapinya kini.

Tanpa berselindung Maya memberitahu rumah tangga yang dibina bersama Steven lebih setahun lalu sudah dilanda taufan.

Krisisnya kini berpanjangan sejak sekian lama dan mereka sedang dalam fasa memperbaiki 'kerosakan' tersebut demi masa depan bersama. Selama lebih sejam, Maya menumpahkan rasa dirinya kepada media.

Apa reaksi anda pertama kali mengetahui hal rumah tangga anda sedang hangat dikongsi khalayak, terutama di Internet?

Saya terkejut! Saya rasa mereka (pemilik blog atau pembuat gosip) sangat hebat. Daripada mana mereka mendapat sumber, saya sendiri terkejut.


MAYA mengaku dia dan Steven berusaha keras memperbaiki krisis rumah tangga mereka.


Berapa banyak laporan yang sedang disebarkan tentang krisis rumah tangga anda tidak benar?

Masalah rumah tangga saya adalah masalah kami berdua. Bukan disebabkan orang ketiga. Ia memang tiada kaitan dengan orang ketiga. Kami yang bertanggungjawab di atas krisis ini. Orang yang tidak duduk serumah dengan kami, mereka tidak tahu dengan tepat tentang masalah kami.

Justeru, apakah penyelesaiannya?

Kami sedang mencari ruang memperbaiki kelemahan dan masalah rumah tangga kami. Bagaimana cara kami selesaikannya, saya minta maaf kerana saya tidak boleh berkongsi dengan umum. Jujurnya, saya seorang yang sangat menjaga hak privasi saya, tetapi saya akur tampil bertemu media untuk menghentikan spekulasi yang semakin menjadi-jadi. Supaya ia tidak menjadi lebih buruk, baik saya bertindak.

Apa sebenarnya masalah kalian? Adakah kerana ia perkahwinan campur yang menyebabkan dunia kalian berbeza?

Saya fikir, ia bukan masalah kerana perkahwinan campur. Sebab saya juga anak kacukan. Misalnya kalau saya berkahwin dengan lelaki Melayu, ia tetap perkahwinan campur kerana saya ada darah Jerman. Saya percaya sama ada anda berkahwin campur atau berkahwin sesama bangsa, jika Tuhan memberi ujian, maka ia tetap terjadi. Jadi, masalahnya bukan kerana perkahwinan campur. Tetapi saya akui, dunia kami berdua memang terlalu berbeza. Bukan sahaja dari segi budaya, tetapi juga jadual kerja dan sebagainya. Barangkali senario sewaktu bercinta dahulu berbeza apabila kita berkahwin dan duduk sebumbung. Saya minta maaf kerana sebolehnya saya tidak mahu memburukkan sesiapa kerana ini adalah kesilapan kami bersama-sama. Jadi kami berdua bertanggungjawab atas semua yang terjadi.

Adakah cerita Steven kononnya ke Mahkamah Syariah untuk menyelesaikan masalah dan menuntut cerai yang disebarkan itu betul?

Saya menafikannya. Steven juga menafikan hal tersebut.

Sedih dengan keadaan sekarang?

Sudah tentu. Saya tak keruan demi menyelamatkan hubungan rumah tangga ini. Sebab itu kami sama-sama memberi ruang dan masa untuk menyelesaikan masalah ini. Tapi ada hari-hari yang saya lalui dengan rasa semangat, ada juga hari-hari yang saya lalui dengan rasa sedih. Bagaimanapun saya harus meneruskan kehidupan.


MAYA bimbang bercakap tentang kemungkinan rumah tangganya kerana berangapan setiap hari mempunyai proses perubahan tersendiri.


Masih mempunyai komunikasi dengan suami?

Ya, masih, malah pertemuan bersama media hari ini juga dipersetujui suami.

Bagaimana anda menghadapi krisis ini?

Saya dapat kekuatan daripada Tuhan. Mujur juga saya punya keluarga yang sentiasa mendokong dan berasa di belakang saya. Malah, mereka juga menerima baik sebarang keputusan saya kelak. Cuma sekarang setiap pagi, ayah saya akan mengirim sistem pesanan ringkas (SMS) yang penuh dengan kata-kata semangat. Ibu pula menjaga saya seperti saya baru berusia lima tahun. Saya bersyukur dengan kasih sayang dan dorongan mereka termasuk teman-teman baik saya.

Adakah anda orang yang cepat memberi respons terhadap satu-satu polemik?

Saya respons, tetapi respons itu tidak terlalu cepat. Saya tak mahu gelojoh. Sebaliknya setiap respons yang dibuat harus rasional.

Tetapi anda tahu bahawa kebarangkalian krisis ini berakhir dengan penceraian itu ada bukan?

Saya tahu perkara ini boleh berakhir dengan penceraian. Sekiranya itu berlaku (penceraian), saya harus menghadapinya. Saya bersedia. Saya akui juga bahawa setiap manusia berhak untuk hidup bahagia dan mendapat sebuah kehidupan yang mempunyai nilai kerana kita hidup hanya sekali. Tetapi sebolehnya kami mahu menyelamatkan rumah tangga ini daripada hancur.

Bagaimana anda melihat krisis rumah tangga ini?

Saya tahu, bukan saya wanita pertama yang menghadapi masalah rumah tangga. Saya percaya ramai pasangan di luar sana juga mengalami masalah rumah tangga, malah ada yang lebih teruk. Saya anggap ini adalah cabaran hidup saya. Semua manusia ada cabaran. Cuma harapan saya, selepas cabaran ini selesai kelak, semua orang akan hidup bahagia. Pada kesempatan ini, saya juga mahu meminta maaf kepada peminat tentang berita yang kurang baik ini.


MAYA dan Steven pada majlis perkahwinan mereka di Itali pada Ogos 2008.


Tentang gosip anda kononnya bercinta dengan Remy Ishak bagaimana boleh timbul?

Saya rasa kerana ia datang pada masa yang kena dengan masalah rumah tangga kami. Jadi, orang terus membuat spekulasi. Untuk pengetahuan, kami memang rapat. Hubungan saya dan Remy baik kerana saya dan Remy terbabit dalam teater Natrah dan filem Cun dalam waktu yang dekat. Malah hubungan saya dengan Remy, sama baik macam hubungan saya dengan hero lama saya, Rushdi Ramli dan Farid Kamil. Hanya macam saya kata tadi, sebab hubungan baik saya dan Remy bertembung dengan masalah peribadi saya, jadi orang membuat spekulasi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: