Wednesday, February 24, 2010

Transformasi wayang kulit


Sasha Rowena Nashir menunjukkan sebahagian daripada beg tangan pelbagai bentuk dan saiz hasil rekaannya.


Wayang kulit merupakan antara seni warisan masyarakat Melayu yang berfungsi menyampaikan mesej menerusi imej-imej patung atau boneka yang diukir halus.

Keunikan seni ini tidak boleh disangkal lagi. Bahkan 'teater boneka' yang terkenal di negeri-negeri pantai timur ini telah memikat hati seorang anak gadis yang berbakat nyata begitu kreatif dan berbakat besar.

Semanis namanya, Sasha Rowena Nashir, 25, yang berasal dari Kuala Lumpur dan berdarah Melayu jati ini mahu mengembangkan seni wayang kulit dalam bentuk yang boleh diterima di pasaran global.

Walaupun banyak menghabiskan masa di luar negara, Sasha tidak pernah melupai warisan nenek moyang lalu mengangkat wayang kulit sebagai motif pada koleksi beg tangan rekaannya.

Graduan jurusan undang-undang dari Bond University, Gold Coast, Australia ini, berjaya mentransformasikan wayang kulit yang hanya dikenali sebagai teater boneka kepada motif beg tangan yang bakal menembusi pasaran antarabangsa.

"Saya menyukai motif yang terdapat pada wayang kulit. Corak yang berseni dengan kesesuaian watak ditambah pula dengan penggunaan warna-warna ceria memberi 'nyawa' kepada warisan pantai timur itu.

"Oleh kerana saya inginkan satu yang berlainan dan tidak pernah dibuat orang, jadi apa salahnya mengetengahkan seni ini dalam bentuk yang boleh diterima oleh semua masyarakat.

"Ia bukan sahaja boleh memperkenalkan seni wayang kulit kepada dunia luar, bahkan mengangkat martabat warisan Melayu ini di mata dunia. Saya berharap rekaan ini bakal setanding dengan jenama beg tangan terkenal lain,'' katanya.

Minat Sasha terhadap beg tangan berputik sejak masih sekolah rendah lagi di mana dia menjual penanda buku bercorak beg tangan dengan harga 20 sen kepada rakan-rakan.

Dengan sokongan keluarga dan menggunakan jenama Sasha Rowena, dia memberanikan diri menceburi bidang rekaan beg yang agak jarang diceburi wanita sebayanya.

"Jika selama ini pelancong banyak disogokkan dengan cenderamata berbentuk kemeja-T, batik sarung, rantai kunci, topi, kini mereka mempunyai pilihan boleh membawa beg tangan trendy yang bermotif wayang kulit.

"Semasa mengadakan jualan di Hotel Four Season Pulau Langkawi, sambutan sungguh menggalakkan. Bahkan ada yang membeli dua hingga empat buah sekali gus. Mereka menyatakan rekaan beg tersebut uni dan setanding dengan jenama terkenal lain," katanya.

Menggunakan kulit lembu, ular tedung dan ular sawa, rangkaian jenama Sasha Rowena memperkenalkan beg kategori clutch, beg dompet, tote, beg komputer dan baglets.

"Dari segi pemilihan warna saya banyak menampilkan warna ceria dan garang. Sebolehnya saya cuba mengelak daripada menggunakan warna biasa seperti hitam dan coklat yang dianggap sebagai warna selamat bagi ramai orang.

"Sehubungan itu, bagi menampakkan kelainan, klasik dan trendy, warna ungu, merah hati, emas, oren, kuning menjadi pilihan,'' jelasnya yang mewarisi dunia seni halus daripada neneknya yang juga menggemari seni lukisan kanvas dan porselin.

Katanya, rangkaian beg rekaannya boleh diperoleh dengan pembelian secara online iaitu dengan melayari www.sasha rowena.com atau hubungi 012-6772311 atau berkunjung di JendelaKL Boutique di Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai impian di masa depan, beliau menginginkan sebuah butik begnya sendiri, bukan sahaja di dalam negara malah di luar negara.

"Bahkan, saya juga sedang mengorak langkah dalam rekaan pembuatan daripada barangan kitar semula yang boleh dijadikan barang hiasan. Mungkin akan keluar pada tahun ini juga,'' ujarnya yang gemar membaca buku-buku mengenai kejayaan orang ternama dan dunia fesyen.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: