Saturday, February 27, 2010

Mahu Belajar Buat Pakaian Batik Daripada Pakar Fesyen?

Ng Swee Kuang ketika memotong kain batik untuk dijahit.

"SEBAGAI warga Malaysia di Paris saya berasa bangga, khususnya apabila berpeluang menghasilkan rekaan pakaian bagi wanita berkedudukan dan wanita pertama merentasi benua...kesemuanya menggunakan Batik Malaysia.

"Saya rasa gembira apabila menyaksikan produk negara asal saya mendapat publisiti media. Dan menjenama warga Malaysia di Paris merupakan langkah berikut saya," kata Ng Swee Kuang, seorang pereka fesyen yang lahir di Muar, penuh teruja, semasa ditemui pulang ke tanah air baru-baru ini.

Ornel 'Soie (disebut 'sua') - yang bermaksud sutera Ornel; bersempena dengan nama anak perempuan Ng - merupakan sebuah butik yang pereka fesyen Malaysia ini bukan sahaja telah melabur wang, tetapi juga mempertaruh idea dan jiwa raganya dalam tempoh 20 tahun beliau menetap di Perancis.

"Saya pada mulanya menjalani latihan di Jepun pada pertengahan 1970-an. Kemudian pada awal 1980-an saya ke Perancis, untuk menghadiri program khas Potongan Jahitan Nina Ricci Haute Couture. Saya terus mendedahkan diri kepada fesyen halus serta teknik-teknik rekaan di bandar raya romantis Paris - di mana fesyen hidup semula pada setiap musim yang dialami oleh benua Eropah," kata Ng, penerima anugerah Pereka Fesyen Terbaik Jepun 1979.

Ng bersama isterinya Tippy yang berasal dari Thailand, kini meneruskan hasrat mereka untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran khusus profesion ini, dan juga pengalaman serta kemahiran yang mereka timba sejak lebih 30 tahun lepas di Malaysia, Jepun dan Perancis; di sekolah fesyen paling berprestij di dunia dan gedung-gedung fesyen, antara lain.

Ng Paris Professional Fashion Academy bertekad untuk membantu para peminat fesyen di Malaysia melalui kursus dua bulan yang ditawarkannya yang akan turut menyaksikan penjenamaan 15-18 peserta yang layak, bersama kehadiran dua pakar dalam subjek ini.

"Saya akan berada di situ untuk menyampaikan 'rahsia' dalam menggunakan batik dalam cara yang paling cekap selain daripada menyelidiki pelbagai jenis material berlainan serta teknik yang boleh digunakan," tambah beliau.

Dilatih Di Paris

Program latihan di Paris terbuka kepada setiap pereka fesyen berwawasan dari seluruh dunia dan kosnya lebih kurang 8 ribu Euro, termasuk perbelanjaan perjalanan dan penginapan bagi rakyat Malaysia.

Ng, yang mempunyai senarai panjang pelanggan antarabangsa, berharap untuk menyampaikan kelebihan ini, kepada penuntut yang menjadi anggota akademi fesyen profesional ini.

Dengan tujuan memenuhi permintaan industri fesyen yang semakin meningkat khasnya daripada segi harapan pengguna dan pemasar, Ng yakin yang pereka fesyen Malaysia kini boleh mempertingkat kemampuan masing-masing melalui latihan ini; yang inovatif dan berkualiti tinggi, khasnya apabila latihan ini dikendalikan di bandar raya fesyen terkemuka - Paris.

Puan Olga Saurat, nama yang berpengaruh di dalam pelbagai disiplin artistik di Perancis pernah menyampaikan penghargaan kepada Ng dan isteri dengan berkata pasangan ini merupakan golongan peniaga dengan kualiti terbaik dan sangat kompeten dalam bidang pengeluaran, latihan dan pengedaran.

Apabila ditanya bagaimana beliau mahu melatih pereka fesyen yang lain khasnya dalam menampilkan lebih banyak perekaMalaysia yang berjaya dalam bidang fesyen, Ng berkata: "Saya mahu mewujudkan satu rangkaian lengkap yang membabitkan warga Malaysia, pertamanya dengan mengesahkan jenama fesyen Malaysia di seluruh dunia.

"Selepas menjalani latihan praktikal di Paris; di bengkel dan butik saya yang terletak di Rue Reaumur, berhampiran dengan "Place de la Bourse" dan Opera, kami akan terus membantu pelajar-pelajar ini melalui komunikasi maya.

"Saya tahu betapa sukarna sebagai penuntut, apabila anda berada jauh dari negara asal dan keluarga. Sebab inilah saya berhasrat untuk memindahkan manfaat yang saya perolehi dalam industri untuk membantu mereka yang kurang berpeluang," katanya.

Pujian Daripada Presiden

Ornel 'Soie mempunyai barisan pelanggan yang berprestij termasuk wanita golongan mewah yang menghadiri majlis di White House, yang mana Ng menerima pujian daripada bekas presiden Amerika Syarikat George Bush dan Senator Hillary Clinton.

Menteri Kewangan Perancis Mme Christine Lagarde pernah melantik Ng untuk menyediakan koleksi baru pakaian batik, dan selepas Ng menyerahkan hasil rekaannya, beliau menerima pujian daripada menteri itu.

Ng mengenang semula, "Ia saat yang membanggakan apabila diperkenalkan kepada menteri wanita itu oleh Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Razak semasa beliau melawat Perancis. Saya memotong dan menjahit helaian Batik yang dibekalkan oleh Kraftangan Malaysia.

Gambar-gambar hasil nukilan unik ini yang dipakai oleh orang kenamaan, disiarka di akhbar dan majalah-majalah Perancis. Satu pencapaian bagi Malaysia dan saya bangga untuk menjadi sebahagian daripada kejayaan ini."

Tahun lepas sahaja, Ng menerima hampir 200 tempahan khas menggunakan kain sutera dengan motif Batik Malaysia, yang diadun dengan kain biasa yang lain, kebanyakannya direka bagi lawatan rasmi dan majlis-majlis, dengan jaket menjadi pilihan para pegawai tinggi.

Apabila ditanya harga setiap rekaan daripada Ornel 'Soie, Ng berkata, "Ia terpulang kepada orang yang menempah Batik itu. Apabila mereka puas hati, harga tidak menjadi masalah. Rekaan saya berharga dari �200 (Euro). Satu daripada rekaan saya dijual pada harga �1,500 (Euro), tidak lama dahulu," kata beliau dengan gembira.

Ng bercadang untuk melatih dan menjenama 100 peserta dalam 6 sesi pertama program latihan itu melalui Akademi Fesyen Profesional beliau, menjadikan pereka fesyen sebagai usahawan, menyumber dengan cekap segala bahan untuk menjenama mereka yang berasal dari Malaysia, untuk mengukir nama di peta fesyen global.

"Program ini dijangka bermula pada Mei ini. Saya sangat gembira. Saya tidak sabar menunggu untuk menggunakan teknologi moden dan silam bagi melengkapkan peserta program kami bersama satu konsep unik dalam menghasilkan rekaan batik sedia-untuk-dipakai".

"Hantar e-mel kepada kami di ornelsoie@wanadoo.fr," tambah Ng sebelum menjawab panggilan telefon daripada seorang pelanggan berpotensi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: