Wednesday, February 24, 2010

Mahkamah tetapkan 11 Mac tentukan jumlah ganti rugi dalam kes Manohara

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Mac ini bagi menilai jumlah ganti rugi yang wajar diterima putera Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra berhubung perintah ingkar yang diperolehnya terhadap isterinya Manohara Odelia Pinot serta ibu wanita itu dalam kes fitnah membabitkan tuntutan RM105 juta.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Noordura Mohamed Din menetapkan tarikh itu hari ini dalam kamarnya selepas mendengar hujahan peguam Mohd Haaziq Pillay, yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry, berhubung taksiran gantirugi itu.


Mohd Haaziq memberitahu media antara hujahan beliau ialah mahkamah perlu mengambil kira bahawa kata-kata fitnah yang dikeluarkan olah Manohara dan ibunya Daisy Fajarina tidak mempunyai bukti, tetapi mungkin mempunyai motif-motif tertentu berdasarkan suasana di Istana Kelantan.


Pada 5 November 2009, Penolong Kanan Pendaftar Shazali Hidayat Shariff membenarkan Tengku Muhammad Fakhry memperoleh perintah ingkar terhadap Manohara dan Daisy selepas mereka gagal melantik peguam bela baru bagi kes berkenan selepas peguam mereka menarik diri daripada mewakili mereka.


Pada 29 Oktober 2009, Shazali memberi tempoh kepada Manohara dan ibunya sehingga 5 November 2009 untuk melantik peguam baru atau menghadapi risiko perintah ingkar dikenakan terhadap mereka.


Perintah ingkar adalah satu keputusan yang menyebelahi plaintif apabila defendan tidak memberi respons terhadap saman yang difailkan terhadapnya atau gagal menghadirkan diri di mahkamah.

Dalam saman yang difailkan pada 20 Julai 2009, putera Sultan Kelantan itu mendakwa dua wanita berkenaan telah secara palsu dan jahat memfitnah beliau apabila mereka mendakwa pada satu sidang akhbar antara April dan Jun 2009 bahawa Manohara didera.


Pada 10 Februari lalu, Tengku Muhammad Fakhry melalui peguamnya Mohd Haaziq dan peguam syarienya Zainul Rijal Abu Bakar meminta bantuan kedutaan Indonesia dan Amerika Syarikat di sini dalam usahanya untuk menyampaikan tiga penghakiman Mahkamah Tinggi terhadap Manohara.


Dua daripada penghakiman itu merupakan perintah Mahkamah Tinggi Syariah Kota Baharu, pada 13 Disember 2009, supaya Manohara kembali taat kepada suaminya serta perintah supaya Manohara membayar semula hutang berjumlah RM1,112,250 kepada Tengku Muhammad Fakhry dan juga penghakiman ingkar itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: