ADA trivia menarik tentang tiga pemuda asal Indonesia ini. Andra Ramadhan (gitaris) baru berjinak-jinak dengan restoran belut yang kini diusahakan di tanah kelahirannya, Surabaya.
Stevie (gitaris) pula digelar 'Zen Winning Eleven' lantaran kepakarannya bermain PS3. Si Dedi dirasakan lambat panas untuk melontarkan vokal secara maksimum di pentas. Namun mereka bersatu dalam perbezaan dan kesamaan serentak.
"Ya, saya masih gemuruh. Itu kan semula jadi? Tetapi ia semakin berkurangan. Kalau lambat panas di pentas, saya akan mencari keseimbangan pada lagu awal dan mendapat titik itu pada lagu-lagu yang seterusnya," ujar Dedi.
Disusuri kembali cabang-cabang perbezaan mereka, Andra sang gitaris berasal daripada sebuah band tersohor, Dewa 19.
Kemudian datang pula Stevie Item, si anak legenda pemuzik Yopie Item yang deras dengan darah metalnya dan mempunyai grup sendiri iaitu Deadsquad.
Terakhir, si wartawan yang bertukar kerjaya menjadi penyanyi, Dedi Lisan yang kadangkala masih ada malu-malu di pentas.
Ketiga-tiga pemuda ini mencantumkan titik muzik tersendiri atas nama Andra and the Backbone (AATB) dan kini bakal muncul dengan album ketiga.
Terkenal lewat lagu Sempurna dan Hitamku, ada kelainan yang disediakan grup yang kini muncul dengan album Love, Faith and Hope ini.
Album edisi istimewa ini dipersembahkan dengan himpunan lima lagu lama yang diberi nafas akustik berserta empat buah lagu baru. Tidak ketinggalan sebuah lagu instrumental yang menjadi tradisi setiap album AATB.
"Tajuk Love, Faith and Hope ini diambil kerana ia kedengaran cool," Dedi cuba melucu.
Namun tambah Stevie yang banyak tersenyum: "Ini kerana setiap kehidupan manusia perlu ada tiga elemen tersebut. Malah lirik-lirik yang kami tulis juga menyentuh kehidupan peribadi manusia."
Setuju mereka, keputusan untuk menukarkan lima buah lagu hit mereka menjadi akustik adalah untuk mendapatkan emosi yang lebih santai.
|
|
"Biar pendengar mendapat satu pengalaman yang berbeza melalui muzik kami," sambung Dedi.
Mempertaruhkan lagu Jalanmu Bukan Jalanmu sebagai single pertama, menariknya lagu ini ditulis dalam durasi lima minit oleh Andra, menjadikannya lagu terpantas yang pernah ditulisnya setakat ini.
Meletakkan album grup Foo Fighters sebagai rujukan, AATB turut akan mempertaruhkan sebuah lagu berdasarkan penantian, Tunggu Aku.
"Itu khas untuk individu yang bekerja jauh dan meninggalkan keluarga untuk mencari rezeki seperti kami," jelas Andra.
Grup yang berada di bawah bumbung Alibi Music Sdn. Bhd. untuk edaran di Malaysia ini kini turut mempromosikan lagu Seperti Hidup Kembali.
Setelah sukses dengan dua album, lagu yang diambil daripada album kedua ini sedang enak diperdengarkan di radio. Mereka juga baru selesai mengadakan Konsert Digi di Indonesia.
Untuk pengetahuan, AATB pernah menjadi rakan duet pelakon Diana Danielle untuk lagu Tak Ada Yang Bisa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: