Wednesday, February 24, 2010

ATM komited laksana program jiwa murni


Abdul Latiff diberi penerangan oleh pegawai tentera setelah meninjau sendiri tahap kesiagaan trup-trup ATM yang terlibat dalam Ops Pasir di Kem Seri Wangsa, Semporna Sabah baru-baru ini.


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) adalah pihak yang bertanggungjawab terhadap pertahanan nasional dengan kata lain sebagai sebuah pasukan tentera profesional negara Malaysia.ATM meliputi tiga cabang ketenteraan utama iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Walaupun mempunyai peranan dan komitmen yang penting untuk menjaga dan mengawasi keselamatan negara, ATM tetap komited melaksanakan program jiwa murni sebagai sebahagian tanggungjawab sosialnya kepada agama, bangsa dan negara.

Penglibatan ATM melalui program-program jiwa murni telah dapat membantu kerajaan dalam melaksanakan pelbagai rancangan pembangunan Negara.

Komitmen dan kesungguhan ATM melalui program jiwa murni yang dilaksanakan dapat membantu memberikan keyakinan kepada rakyat terutamanya bagi mereka yang berada di kawasan yang benar-benar memerlukan bantuan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, program jiwa murni yang dilaksanakan ATM bertujuan menghulurkan bantuan kepada rakyat memerlukan.

"Kita menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan melalui program 'jiwa murni'. Program ini dibuat untuk memberi bantuan serta perkhidmatan kepada rakyat dan ia bukan dilaksanakan kerana keperluan politik," katanya.

Penempatan anggota ATM di pulau-pulau dan pesisir pantai di kawasan sempadan terutama di pantai timur Sabah merupakan antara program jiwa murni bagi menjamin keselamatan dan keselesaan rakyat khususnya di negeri itu sendiri.

Kehadiran anggota ATM juga menjamin industri pelancongan di kawasan yang mempunyai pelbagai tarikan itu, terus subur dan berkembang.

Pada 9 Februari lalu, Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad telah menyempurnakan majlis perasmian Dewan 3M (membaca, menulis, mengira) Angkatan Bersama di Pulau Berhala, Sandakan, Sabah.

Pelancaran Dewan 3M Angkatan Bersama itu adalah sebahagian daripada program jiwa murni yang dilaksanakan bagi mengeratkan hubungan antara ATM dan penduduk tempatan.

Program itu sekali gus membuktikan keprihatinan ATM dalam program-program jiwa murni serta khidmat masyarakat yang biasa dijalankan oleh ATM selama ini.

Melihat pada sejarahnya, Pulau Berhala merupakan salah satu pulau yang menempatkan markas taktikal untuk anggota tentera melaksanakan operasi.

Sejarah bermula pada tahun 2006, apabila sekumpulan anggota tentera yang bertugas di Pulau Berhala itu telah mendapati kebanyakan kanak-kanak di pulau itu tidak berpeluang untuk bersekolah.

Selain daripada faktor tiada dokumen kelahiran, faktor kemiskinan adalah sebab utama yang membelenggu masyarakat di pulau itu menyebabkan kanak-kanak yang menetap di situ tidak berpeluang mendapat pendidikan yang sempurna.

Bertitik tolak daripada keadaan ini, ATM dengan inisiatif sendiri telah menyediakan anggotanya untuk menjadi tenaga pengajar tanpa silibus khas bagi mengajar 50 pelajar pada ketika itu mengikuti pelajaran asas seperti membaca, menulis dan mengira.

Rumah bot telah diubahsuai menjadi kelas untuk kanak-kanak itu belajar manakala peralatan-peralatan pembelajaran telah disumbangkan oleh pihak yang prihatin.

Ahmad Zahid semasa lawatannya pada Ogos tahun lalu telah mencadangkan agar sebuah dewan khas didirikan bagi menempatkan kelas pembelajaran yang lebih selesa untuk kanak-kanak tersebut.

Melalui peruntukan khas, beliau telah menyumbangkan RM100,000 untuk membeli bahan-bahan binaan bagi pembinaan dewan tersebut.

Susulan daripada itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin turut menyokong usaha tersebut lalu memberi bantuan kepakaran anggota daripada 5 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) untuk membina dewan tersebut.

ATM dalam usaha mempertingkatkan projek jiwa murni itu telah menghantar dua staf daripada Kor Perkhidmatan Am (Pelajaran) dan seorang staf daripada Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) untuk bertindak sebagai guru kepada kanak-kanak di kelas 3M yang semakin bertambah.

Dalam pada itu, majlis perasmian tersebut adalah sebahagian daripada rangka lawatan ulung Timbalan Menteri Pertahanan ke kawasan Operasi Pasir (Ops Pasir) Sabah yang bermula pada 7 Februari sehingga 9 Februari 2010.

Dalam rangka lawatan tersebut, Abdul Latiff selain melawat dan mendengar taklimat mengenai peranan serta fungsi Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2) di Kem Kukusan, beliau juga meninjau sendiri tahap kesiagaan trup-trup ATM yang beroperasi di Ops Pasir.

Di samping itu, beliau juga berjumpa dengan anggota yang menjalankan operasi di kawasan tanggungjawab (KTJ) Ops Pasir Utara dan Selatan.

Abdul Latiff juga berpeluang menyaksikan sendiri pengoperasian sistem pesawat tanpa pemandu (UAV) yang merupakan salah satu sistem pengawasan yang digunakan di kawasan Ops Pasir dan meninjau kawasan tersebut melalui 'aerial view' dengan pesawat nuri.

Mengiringi Abdul Latiff pada lawatan itu ialah Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Wira Allatif Mohd. Noor; Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Awie Suboh; Komander Angkatan Tugas Bersama, Brigadier Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan dan Panglima 5 Briged Infantri, Brigadier Jeneral Datuk Masrani Paiman.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: