Thursday, February 25, 2010

Heliza tidak mudah melatah kena fitnah



Lama benar tidak mendengar cerita daripada Heliza. Bintang kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim keempat ini semakin sibuk dengan jadual pengajiannya selepas mengambil keputusan untuk berhenti menyanyi buat seketika setahun selepas AF.

Terbaru, tersebar cerita kononnya Heliza mendirikan rumah tangga dengan seseorang yang bergelar VVIP. Dek kerana perkahwinannya itu dikatakan membuatkan Heliza mampu menubuhkan syarikatnya sendiri iaitu Heliza Hilmi Productions Sdn Bhd (HHP) di atas bantuan kewangan daripada seseorang yang bergelar VVIP ini.

Bertemu Heliza baru-baru ini, Heliza ternyata agak terkejut dengan berita itu. Bagaimanapun, gadis manis ini tidak mudah melatah walaupun agak sedih dengan berita yang dianggap sebagai satu fitnah itu.

“Itu satu fitnah. Saya tak tahu mengapa ada orang sanggup menabur fitnah terhadap saya. Saya sangat sedih. Walaupun keluarga saya memahami tetapi mereka juga agak terkejut apabila cerita macam ini boleh tersebar. Kenapa saya boleh menjadi mangsa mereka ini?

“Saya anggap ini asam garam sebagai selebriti. Tambahan saya masih baru dalam industri seni ini.

“Biarpun agak pahit untuk saya telan, tapi anggap inilah titian perjalanan anak seni seperti saya.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai ini walaupun pedih juga hati ini apabila ada orang asyik bertanya kesahihan cerita yang tersebar itu.

“Saya mahu tumpukan perhatian terhadap pengajian dan juga kerjaya saya,” katanya yang akan menduduki peperiksaan akhir semester pada Mei nanti.

Menurutnya, dia sendiri tidak tahu mengapa dijadikan sasaran fitnah sedangkan masanya banyak dihabiskan di dewan kuliah dan menyiapkan tugasan harian sebagai penuntut.

“Berilah ruang untuk saya. Tak tahu kenapa saya dikatakan sudah berkahwin dan ada juga yang saya dengar, buat masa sekarang ni saya sibuk dengan persiapan perkahwinan. Sedangkan dalam waktu ini, saya memang sibuk, tetapi dengan jadual kelas serta membuat persediaan untuk peperiksaan akhir pertengahan tahun ini,” katanya yang pernah popular dengan lagu Doa Dalam Lagu.

Katanya, syarikat yang ditubuhkan itu adalah hasil usaha dan hasil titik peluhnya selama ini.

“HHP didaftarkan sejak dua tahun lalu. Saya dapat duit daripada berlakon, undangan nyanyian serta menjadi duta produk. Saya berikan duit itu kepada ibu saya. Tak sangka, ibu saya tak pernah gunakan wang yang saya berikan dan dengan duit itu saya gunakan untuk membuka HHP ini.

“Saya harap dengan penjelasan ini, tidak ada pihak yang keliru lagi. Lagipun, sejak dua tahun ditubuhkan, tiada apa-apa aktiviti memandangkan sangat sibuk. Cuma sekarang masanya sesuai untuk membuat sesuatu kepada HHP dan kerjaya saya,” katanya.



Lancar single 'Panggil Namaku'

Walaupun sebelum ini, Heliza sudah ada dua lagu sewaktu bersama Maestro Talent, namun kedua-dua lagu tersebut masih tidak dimainkan di radio.

Memegang prinsip tidak mudah mengalah dalam hidup, Heliza kini muncul pula dengan single terbarunya Panggil Namaku. Lagu yang dicipta suami guru vokalnya, Eddy Rock diharap akan menjadi titik permulaan kebangkitannya id dalam arena seni muzik tanah air.

“Lagu itu dicipta pun secara tidak sengaja. Sama juga dengan lirik lagu ini. saya cipta lirik khas ditujukan kepada mereka yang dekat dengan diri saya selama ini.

“Saya meluahkan isi hati saya dengan lirik lagu ini. walaupun lagu ini berentak pop, tapi saya harap liriknya akan sampai ke jiwa mereka, terutama teman dan keluarga saya,” katanya.

Bakal menamatkan pengajian pada tahun ini, Heliza yang pernah mengeluarkan hasrat untuk bergelar pendidik tidak dapat memberi kata putus antara karier nyanyian atau terus bergelar guru.

“Saya masih belum buat apa-apa keputusan masa depan saya. Kalaupun saya memilih untuk menjadi penyanyi, saya masih boleh meneruskan bidang pendidikan. Saya akan menubuhkan sebuah pusat tuisyen di bawah label syarikat HHP.

“Banyak lagi yang boleh saya lakukan untuk terus bergelar pendidik tanpa meninggalkan dunia nyanyian yang semakin sebati dengan diri saya,” katanya.

1 comment:

  1. semoga berjaya ye heliza...4 study n nyanyian..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: