Thursday, February 25, 2010

Wanita sebak cerita kes Toyota


RHONDA SMITH sebak semasa memberi keterangan mengenai siasatan keselamatan kenderaan Toyota di bangunan Capitol Hill, Washington kelmarin.


WASHINGTON – Hari pertama siasatan panel Kongres Amerika Syarikat (AS) berhubung isu keselamatan kenderaan Toyota kelmarin dikejutkan dengan tangisan seorang wanita, Rhonda Smith yang menceritakan dia nyaris maut semasa memandu sebuah Toyota Lexus.

“Anda patut malu, Toyota kerana tamak haloba. Begitu juga Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuh Raya (NHTSA) kerana gagal melaksanakan kewajipan anda,” katanya sambil teresak-esak.

Menurut Smith, dalam insiden pada 2006, dia nyaris tidak dapat mengawal keretanya apabila kenderaan itu tiba-tiba mencapai kelajuan 160 kilometer sejam walaupun dia tidak memecut.

Wanita itu memberitahu, dia telah membuat aduan mengenai masalah elektronik kenderaannya tetapi tidak diendahkan oleh Toyota atau NHTSA.

Bagaimanapun, aduannya kali ini didengari Jawatankuasa Tenaga dan Perdagangan Kongres yang bersidang bagi menyiasat aduan orang ramai berhubung kelemahan keselamatan kenderaan keluaran Toyota dan beberapa syarikat pengeluar kereta lain di AS.

Panel itu ditubuhkan setelah pihak berkuasa pengangkutan Jepun menyatakan bahawa ia akan menyiasat 38 laporan berhubung masalah pecutan mendadak kenderaan Toyota sejak tiga tahun lalu sekali gus siasatan pertama mengenainya di Jepun.

Sementara itu, Presiden Toyota Motor, Akio Toyoda sekali lagi memohon maaf kelmarin berhubung isu keselamatan kereta syarikat itu yang membawa kepada penarikan semula lebih 8.5 juta kenderaan di AS dan Eropah.

Masalah pecutan mendadak yang dikaitkan dengan pedal minyak dan sistem elektronik kenderaan Toyota didakwa menyebabkan sekurang-kurangnya lima kematian sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: