Saturday, February 27, 2010

Halimah Jongang sekadar hiburan


“Jongang jongang jongang, kau Halimah Jongang..” itu antara bait-bait lagu untuk drama bersiri Halimah Jongang. Asalnya ia hanya berbentuk telemovie yang disiarkan di saluran Astro Prima. Tetapi apabila diberitahu ratingnya yang mencecah 1.4 juta, pihak produksi A Aida Production Sdn Bhd telah dimaklumkan untuk menyambung kisah Halimah Jongang ini agar dibuat secara bersiri.

Penerbitnya A Aida yang pada awalnya tidak menyangka akan kejayaan telemovie itu telah bertungkus-lumus memerah idea untuk memberikan yang terbaik untuk drama bersiri. Kini, setelah ditayangkan, ternyata, usaha A Aida tidak sia-sia apabila ia masih mencapai rating tertinggi dan mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.

Selain jalan cerita, Halimah Jongang membariskan pelakon popular seperti Sheera Iskandar, Pierre Andre dan Aishah Atan.

Namun, di dalam keseronokan bergelak ketawa, ada juga yang tidak berpuas hati dengan drama Halimah Jongang ini. Bukan sahaja lagu malah tajuk dan konsepnya tidak boleh diterima atas alasan menghina mereka yang bergigi jongang.

A Aida ketika dihubungi berkata, skrip yang dihasilkan adalah berdasarkan kisah benar mengenai rakan baiknya.

“Saya ada seorang kawan. Dia memang seorang yang bijak dan baik hati. Tapi kerana keadaan giginya itu membuatkan dia hilang keyakinan diri. Jadi saya buat skrip ini khas untuknya. Selepas menonton drama saya, baru dia sedar dan kini semakin bersemangat dan tidak lagi rasa rendah diri. Malah dia tidak kisah kalau ada yang cuba untuk mengejek,” katanya lagi.

Mengakui banyak mesej dalam drama ini, Aida merasakan tidak perlulah ada suara-suara sumbang yang memberi komen negatif terhadap karyanya.

“Seperti saya katakan, ia kisah benar. Saya tak faham kenapa ada orang yang boleh berkata demikian sedangkan ia untuk kebaikan. Saya boleh menerima teguran asalkan teguran itu membina bukan untuk menjatuhkan.

“Adakah dengan menggunakan tajuk dan perwatakan itu menggambarkan satu penghinaan? Mengapa tidak dilihat daripada sudut mesej, sudut keberanian gadis bernama Halimah itu sendiri.

“Walaupun tahu dirinya serba kekurangan tetapi Halimah itu seorang gadis yang cekal, berkeyakinan tinggi serta mempunyai budi pekerti yang baik. Kerana itu dia digilai bukan sahaja pemuda kampung malah anak orang kaya di bandar.

“Saya mengharapkan penonton sedar akan hakikat ini. Saya menyampaikan mesej dalam bentuk hiburan. Tapi jangan salah anggap. Tak perlu memberi mesej dengan hanya memaparkan mengikut drama yang bergenre berat,” jelasnya.

A Aida yang telah 22 tahun bergiat dalam industri lakonan ini merupakan seorang yang profesional. Aida tidak mahu membebankan dirinya dengan hal kecil begitu.

Katanya lagi, kebanyakan orang yang bercakap itu tidak langsung mengikuti drama-drama terbitan syarikatnya cuma hanya tahu bercakap dan menjatuhkan orang lain.

“Saya tahu orang yang bercakap ini hanyalah satu peratus sahaja, kerana itu saya tak hiraukan langsung kerana niat saya baik dan ikhlas.

“Lagi pula, saya dah masak dengan permainan seumpama ini. Sebelum ini, saya banyak terbitkan drama-drama untuk RTM. Jadi saya belajar dari situ akan garis panduan tentang sesebuah drama. Apa yang boleh dan apa yang tidak. Jadi setakat orang nak bercakap macam tu, saya rasa biarlah. Asalkan niat saya baik,” katanya.

==== Terbit Telemovie Fatimah Juling

Selepas Halimah Jongang, Aida bakal mempersembahkan sebuah lagi karyanya yang berjudul Fatimah Juling. Telemovie yang mengisahkan mereka yang bermata juling ini tidak jauh bezanya dengan konsep dan jalan cerita Halimah Jongang.

“Terus terang saya katakan, saya suka menggunakan pendekatan ini untuk dekat dengan penonton. Daripada cerita beginilah saya dapat sampaikan mesej kepada mereka.

“Sekali lagi, tidak ada niat untuk mengaibkan sesiapa. Saya hanya ingin memberi pendekatan dan membuatkan golongan ini agar yakin dengan kemampuan diri. Saya tidak mahu mereka terus-terusan duduk dalam kelompok mereka sahaja kerana beranggapan masyarakat akan mengejek dan mentertawakan mereka,” katanya.

Fatimah Juling membariskan pelakon Julia Ziegler sebagai Fatimah. Telemovie ini akan ditayangkan pada 7 Mac depan ini selepas tamat program realiti Raja Lawak.

“Saya amat berharap masyarakat akan sedar dan tidak meminggirkan golongan-golongan seperti ini. Mereka juga sama seperti kita, malah mereka juga lebih bijak daripada kita,” jelasnya yang sudah menyiapkan sebuah lagi naskhah Dollah Hapak sejurus selepas Fatimah Juling.

3 comments:

  1. itu untuk orang yang tinggi keyakinan..mcm mana pulak kl pompuan diejek melalui lagu itu...x kesian ke...pikir la dulu sebelum buat lagu tu...mmng pon utuk keyakinan..cuba kamu ditempat kawan saya..adakah kamu sanggup????kita kl ckp mmng mudah..tp kl merasa ianya amat pedih...

    ReplyDelete
  2. Kesian cikgu di sekolah kami, gigi depannya agak terkedepan dan bersaiz besar... dulunya diejek murid2 sebai mr os... kini dinyanyikan: "jongang..jongang...jongang...cikgu gigi jongang.."
    tidak tahulah betapa pecah hatinya...

    ReplyDelete
  3. a.aida mmg bodoh..spm x pas..kalau terkene btl2 kat org name halimah+die jongang..x kesian ker..o.k nnti aku suh bapak aku terbitkan pilem A.AIDA HATI BUSUK..ko terase x?..ehh jgnlah terase ramai lagi yg name A.AIDA spt mene ko cakap ramai org name halimah..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: