Sunday, February 28, 2010

Najwa tak guna nama bapa




DISELAK lembaran industri muzik tanah air, saban hari ada saja pucuk baru yang sedang menghijau.

Seakan benih segar yang bermain-main dengan aliran udara dan simbahan cahaya mentari, sampai waktu yang tepat, ia menjalar naik menjadi sesuatu yang segar dan menyejukkan.

Najwa Muhyiddin sedang naik dengan pantas. Lantunan suaranya mencabar banyak minda untuk mencari siapa pemilik nama ringkas tersebut.

Dia sampai pada waktu yang tepat iaitu ketika umum sedang meneliti dan menghargai bakat baru yang punya identiti tersendiri.

Lebih dekat lagi apabila menyebut tajuk lagu popular milik Maliq (Too Phat). Dihiasi sentuhan suara enak didengar, Kau Yang Punya seakan pengenalan serius suara Najwa buat pendengaran ramai.

Kolej Berklee

Agak malu-malu pada pertemuan awal dengan Sensasi Bintang. Belum terbiasa dan masih mencari alun kata yang sempurna, Najwa galak bercerita tentang aliran seninya.

"Sejak dahulu saya sudah dibiasakan mendengar lagu-lagu lama. Ayah dan ibu memasang lagu-lagu ini kerana minat mereka.

"Lalu, saya pula pura-pura menyanyi dengan kononnya mikrofon di tangan," dia memulakan cerita kenapa wujud pengaruh soul dan jazz dalam langkah seninya.

Menyebut nama-nama hebat seperti Ella Fritzgerald, Jill Scott dan Erykah Badu sebagai penghembus inspirasi dan nadim telinganya, kita tahu dia bukan datang dengan bakat dan jiwa yang kosong.

Berakar umbikan nama seperti itu sudah cukup meyakinkan bahawa minat yang mengalir ada pengisian yang benar.

Malah inspirasi lagu dan fesyen yang berjalan seiring menampakkan gadis ini punya originaliti yang tidak dibuat-buat.

Realitinya, dalam aliran pengetahuan Najwa kini terkandung dua subjek yang berbeza.

Untuk jaminan pertama dan kepuasan hati ayah bonda, dia siap bergelar siswazah jurusan Kejuruteraan Elektronik yang ditimba di Melbourne, Australia.


LAGU Kau Yang Punya mendatangkan tanda tanya sekali gus satu perkenalan serius Najwa kepada khalayak.


Dua tahun dia menimba pengalaman di bumi kanggaru itu sebelum kembali ke Malaysia untuk mendalami bidang muzik pula.

Dua tahun juga dia tekun menggali ilmu di Kolej Muzik Antarabangsa (ICOM), Kuala Lumpur, Najwa bakal terbang ke Kolej Muzik Berklee, Massachusetts, Amerika Syarikat.

"Kalau tiada aral melintang, bulan September nanti saya akan belajar di sana selama dua tahun.

"Tidak sabar juga untuk ke Berklee," ujarnya yang bakal berkongsi pentas persembahan dengan Babyface 5 Mac nanti di Plenary Hall, Kuala Lumpur.

Namun, sebelum itu, dia ada tanggungjawab yang mahu diselesaikan. Najwa ingin menyemarakkan genre soul dan jazz di Malaysia terlebih dahulu.

Anak Timbalan PM

Gadis ini mahu mengubah persepsi dan tabu klise. Tidak bersandarkan nama ibu bapanya, anak Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Puan Sri Norainee Abd. Rahman ini mahu menjual vokalnya sendiri.

Dia sedar itulah cara yang paling tepat untuk bakatnya dihargai secara telus dan bukan kerana dia anak orang kenamaan. Dia ialah duta kepada namanya sendiri.

Najwa juga bangga dapat berganding suara dengan Maliq untuk lagu Kau Yang Punya. Persetujuan kolaborasi itu, katanya, dicapai menerusi mesej-mesej di laman sosial Myspace.

"Saya suka berkolaborasi. Tetapi saya juga tidak mahu gunakan nama orang lain untuk menaikkan nama saya sendiri.

"Malah membina nama sendiri dapat memberi kepuasan," jawabnya apabila ditanyakan amalan 'featuring' dalam dunia nyanyian terutama hip hop atau jazz.

Buat masa ini, dalam usaha membina nama 'Najwa' itu sendiri, dia sedang berkira-kira untuk membikin sebuah album mini yang mengandungi lagu-lagu miliknya.

"Saya sudah menulis beberapa buah lagu sejak usia 16 tahun. Untuk album, saya sedang merancang untuk memasukkan sekitar tujuh buah lagu yang saya tulis sendiri.

"Sekarang dalam proses mencari penerbit untuk album saya.

"Harap-harap bulan Mac atau April nanti dapatlah saya keluarkan album saya," ujarnya yang menulis lagu berdasarkan pengalaman cinta remajanya selain rakan-rakan terdekat.

Najwa mungkin sudah biasa berdikari dan menimba pengalaman di luar negara.

Tetapi sejauh mana dia bersedia berhadapan tradisi hiburan tanah air bahawa peminat bukan hanya mahu tahu latar belakang seni tetapi lebih daripada itu.


NAJWA dalam rangka menyiapkan album bagi hidangan halwa telinga pendengar tanah air. Sudah biasa bermain di gig-gig bebas, kini dia bersedia mengharungi dunia hiburan yang lebih komersial.


"Saya bersedia. Tetapi fokus saya adalah muzik dan bakat. Saya tahu dalam hiburan, hal peribadi akan terbawa sama namun penegasan saya untuk dunia hiburan adalah 'saya di sini kerana muzik'" jelasnya.

Pada akhir pertemuan dengan penyanyi baru berjiwa besar ini, dia mengingatkan saya kepada penyanyi Liza Aziz - kaya dengan bakat dan suara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: